factograf
MS

Revolusi Perancis

Revolusi Perancis

Key facts

contohperistiwa bersejarah, revolusi
negaraPerancis
dijelaskan oleh sumberEnsiklopedia Britannica Edisi Ke-11
All data from the card 7
Nama asli
Révolution française (fr)
Tarikh
5 Mei 1789 – 9 November 1799
Tempat
Perancis, jajahan Perancis dan medan perang di Eropah
Lokasi
Perancis, Perancis
Jenis
Revolusi politik dan sosial
Penyebab
Krisis fiskal kerajaan; ketaksamaan undang-undang dan percukaian; kenaikan harga makanan; pertikaian tentang perwakilan politik; penyebaran gagasan Kesedaran
Peserta
Louis Antoine de Saint-Just

Revolusi Perancis (Perancis: Révolution française) ialah tempoh pergolakan politik, masyarakat dan ketenteraan dalam sejarah Perancis, daripada struktur kerajaan terdahulu yang dikuasai raja dengan sistem feudal yang memberikan keistimewaan bagi golongan autokrat dan paderi Katolik kepada suatu pemerintahan dipimpin rakyat jelata yang berasaskan prinsip Kesedaran terhadap nasionalisme, kewarganegaraan dan hak rakyat. Ia lazimnya ditarikhkan dari pembukaan États-Généraux pada 5 Mei 1789 hingga rampasan kuasa 18 Brumaire pada 9 November 1799. Revolusi ini menggulingkan susunan Rejim Lama, yang berasaskan monarki, pembahagian masyarakat kepada tiga darjat dan keistimewaan undang-undang, lalu menghasilkan monarki berperlembagaan, republik dan beberapa bentuk pemerintahan republik revolusioner sebelum kuasa eksekutif dipusatkan di bawah Napoleon Bonaparte.

Revolusi tercetus daripada gabungan beberapa krisis. Kerajaan berhutang besar selepas peperangan abad ke-18 dan tidak berupaya membaharui sistem percukaian yang tidak sekata. Pada masa yang sama, hasil tuaian yang buruk, kenaikan harga roti, pengangguran bandar dan kemerosotan taraf hidup meningkatkan keresahan. Pertikaian tentang kuasa raja, hak badan perwakilan dan kedaulatan negara turut dipengaruhi oleh perkembangan pendapat awam serta gagasan Kesedaran, walaupun ahli sejarah berbeza pendapat tentang kepentingan relatif setiap faktor.

Pada 1789, para wakil Darjat Ketiga mengisytiharkan Perhimpunan Kebangsaan sesama mereka dengan sumpah diangkat kemudian, sebelum memulakan penggubalan perlembagaan. Serbuan Bastille, Ketakutan Besar di luar bandar, pemansuhan keistimewaan darjat dan penerimaan Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara mempercepat keruntuhan susunan lama. Monarki berperlembagaan yang diwujudkan pada 1791 tidak bertahan lama. Peperangan dengan kuasa Eropah, ketidakpercayaan terhadap Raja Louis XVI dan pemberontakan pada 10 Ogos 1792 membawa kepada penggulingan raja dan pengisytiharan republik.

Republik baharu menghadapi perang luar, perang saudara, krisis bekalan dan persaingan politik yang sengit. Dalam keadaan darurat 1793–1794, Konvensyen Kebangsaan menubuhkan kerajaan revolusioner yang bergantung pada Jawatankuasa Keselamatan Awam, mahkamah luar biasa, mobilisasi ketenteraan dan kawalan ekonomi. Tempoh yang dikenali sebagai Pemerintahan Ganas berakhir dengan Reaksi Thermidor pada Julai 1794. Rejim Direktorat yang menyusul mengekalkan republik tetapi dicirikan oleh ketidakstabilan politik, kesukaran kewangan, rampasan kuasa dan pergantungan yang meningkat pada tentera, sehingga Napoleon menggulingkannya pada 1799.

Revolusi menghapuskan keistimewaan berasaskan kelahiran, menegaskan kedaulatan negara dan persamaan di sisi undang-undang, serta membentuk semula pentadbiran wilayah, kewangan awam, hubungan agama dengan negara dan konsep kewarganegaraan. Namun, kesamarataan politik tetap terhad: wanita tidak memperoleh hak mengundi, hak politik berubah mengikut rejim, dan dasar di jajahan bercanggah antara prinsip sejagat dengan perhambaan serta pemerintahan empayar. Pengaruh revolusi tersebar melalui Perang Revolusi Perancis dan kemudiannya Perang Napoleon, serta menjadi rujukan penting bagi gerakan liberal, republik, nasionalis, antiperhambaan dan konservatif di Eropah serta dunia Atlantik.

Latar belakang

Rejim Lama dan masyarakat tiga darjat

Menjelang 1789, Perancis diperintah sebuah kerajaan Wangsa Bourbon. Walaupun kuasa diraja sering digambarkan sebagai mutlak, pelaksanaannya dibataskan oleh adat wilayah, hak korporat, mahkamah berdaulat yang dikenali sebagai parlement, serta keistimewaan tempatan dan darjat. Negara tidak mempunyai satu sistem undang-undang, cukai atau pentadbiran yang seragam; peraturan dan beban kewangan berbeza mengikut wilayah, status dan jenis harta.

Masyarakat secara rasmi dibahagikan kepada tiga darjat. Darjat Pertama terdiri daripada golongan paderi, Darjat Kedua daripada golongan bangsawan, manakala Darjat Ketiga merangkumi hampir semua penduduk lain, termasuk petani, tukang, buruh, pedagang, ahli profesional dan golongan borjuis. Kedua-dua darjat istimewa bukanlah kumpulan yang seragam, dan sebahagian anggotanya menyokong pembaharuan. Namun, pengecualian cukai, hak feudal, kuasa gerejawi dan akses yang tidak sama kepada jawatan awam menjadikan susunan tersebut semakin dipertikaikan.

Sebahagian besar penduduk tinggal di luar bandar. Petani memiliki atau menyewa tanah dalam keadaan yang sangat berbeza, tetapi ramai masih menanggung sewa, bayaran feudal, cukai kerajaan, persepuluhan gereja dan kewajipan tempatan. Di bandar, harga makanan, peluang pekerjaan dan kawalan terhadap perdagangan bijirin memberi kesan langsung kepada kehidupan golongan pekerja. Oleh sebab roti merupakan komponen utama perbelanjaan isi rumah, kenaikan harganya boleh dengan cepat mencetuskan bantahan dan rusuhan.

Krisis fiskal dan ekonomi

Raja Louis XVI naik takhta ketika kerajaan tersebut berada dalam suatu krisis kewangan di mana perbelanjaan negara melebihi pendapatan mampu ditampung Perbendaharaan Diraja sehingga Perancis sudah hampir muflis; perkara ini terutama sekali diburukkan penglibatan Perancis dalam Perang Tujuh Tahun dan Perang Revolusi Amerika.Kerajaan tidak dapat meningkatkan hasil secara mencukupi kerana sistem cukai tidak seragam, banyak hasil dipajak kepada pemungut swasta, dan pembaharuan yang melibatkan golongan istimewa menghadapi tentangan institusi. Keadaan ekonomi memburuk pada penghujung 1780-an. Tuaian yang lemah pada 1788, musim sejuk yang keras dan gangguan perdagangan meningkatkan harga bijirin dan roti, sementara kemerosotan dalam beberapa perusahaan bandar meningkatkan pengangguran. Tekanan tersebut tidak dengan sendirinya menentukan arah revolusi, tetapi menjadikan pertikaian institusi lebih mudah berkembang menjadi mobilisasi rakyat.

Pada bulan Mei 1776, menteri kewangan Anne Robert Jacques Turgot dipecat setelah beliau gagal melaksanakan reformasi kewangan. Setahun kemudian, seorang warga asing bernama Jacques Necker dilantik menjadi Bendahara Kewangan; namun penjawatan ini tidak diberikan secara rasmi kerana bermazhab Protestan - ia dilihat menyanggah peranan Kerajaan Perancis sebagai pendokong Gereja Katolik Rom yang menjadi anutan rasmi kerajaan. Necker menyedari bahawa sistem percukaian di Perancis sangat regresif di mana masyarakat kelas bawahan dikenakan cukai yang lebih besar sementara kaum bangsawan dan agamawan (termasuk pendeta dan paderi) diberikan banyak pengecualian. Necker beranggapan bahawa pengeculaian cukai sebegini harus dikurangkan serta turut mengusulkan untuk meminjam lebih banyak wang agar permasalahan kewangan negara dapat diatasi. Necker menerbitkan sebuah laporan untuk menyokong anggapannya ini yang menunjukkan bahawa hutang negara melebihi angka 36 juta livre. Necker juga mengusulkan pembatasan kekuasaan parlement. Usulan Necker ini tidak diterima dengan baik oleh para menteri Raja, dan Necker, yang berharap dapat mengukuhkan posisinya, berpendapat bahawa dia sepatutnya dilantik sebagai menteri, namun Raja menolaknya. Necker dipecat dan jawatannya diambil alih oleh Charles Alexandre de Calonne.

Calonne dengan cepat menyedari situasi kewangan negara yang dalam keadaan krisis dan mengusulkan pembentukan kod cukai yang baru. Pada 1787, Calonne meminta sokongan Perhimpunan Orang Bernama bagi cukai tanah yang lebih menyeluruh yang turut dikenakan ke atas pihak bangsawan dan gereja, tetapi perhimpunan tersebut menuntut bakas pertanggungjawaban dan kuasa undang-undang yang lebih jelas. Pertikaian antara kerajaan dengan parlement kemudian menjadikan krisis fiskal sebagai krisis perlembagaan tentang siapa yang berhak meluluskan cukai. Penentangan ini mendorong Calonne mengadakan pertemuan dengan Majlis Bangsawan, berharap mendapat sokongan. Namun perkara yang sebaliknya berlaku apabila pihak Majlis mengkritik Calonne untuk melemahkan rancangan Calonne. Sebagai respon, untuk pertama kalinya sejak 1614, Raja memanggil Etats-Généraux pada bulan Mei 1789. Pemanggilan ini sekaligus menjadi petanda bahawa monarki Bourbon sedang dalam keadaan lemah dan boleh ditundukkan tuntutan para rakyat jelatanya.

Kesedaran, pendapat awam dan krisis politik

Penulis-penulis pada Zaman Kesedaran seperti Montesquieu, Voltaire dan Jean-Jacques Rousseau mengkritik pemerintahan sewenang-wenangnya, sikap tidak toleran dan ketaksamaan undang-undang, sambil membahaskan pemisahan kuasa, kebebasan awam dan kedaulatan rakyat. Revolusi Amerika pula menyediakan contoh kontemporari tentang perlembagaan bertulis dan pernyataan hak. Gagasan ini disebarkan melalui buku, risalah, akhbar, kelab bacaan, salon dan rangkaian surat-menyurat, tetapi diterima serta ditafsirkan secara berbeza oleh pelbagai kumpulan.

Pada Ogos 1788, Raja Louis XVI bersetuju memanggil États-Généraux, sebuah perhimpunan yang tidak pernah bersidang sejak 1614. Pilihan raya dan penyediaan cahiers de doléances, iaitu daftar rungutan serta cadangan, melibatkan masyarakat dalam perbahasan kebangsaan yang belum pernah berlaku pada skala sedemikian. Banyak cahiers masih menyatakan kesetiaan kepada raja, tetapi turut menuntut percukaian yang adil, undang-undang yang seragam, kebebasan tertentu dan badan perwakilan yang bersidang secara tetap.

Dari États-Généraux kepada monarki berperlembagaan, 1789–1791

Lukisan dewan persidangan yang dipenuhi wakil tiga darjat di Versailles
Pembukaan États-Généraux di Versailles pada 5 Mei 1789, dalam lukisan Auguste Couder dari 1839.
Lukisan para wakil mengangkat tangan ketika bersumpah di sebuah gelanggang tenis
Lukisan Auguste Couder pada 1848 yang menggambarkan Sumpah Gelanggang Tenis pada 20 Jun 1789.
Helaian berhias yang memaparkan teks Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara
Gambaran berhias Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1789.
Gambaran wanita dan lelaki bersenjata dalam perarakan menuju Versailles
Gambaran sezaman tentang Perarakan wanita ke Versailles pada Oktober 1789.
Cetakan yang menunjukkan kereta kuda keluarga diraja dikepung penduduk dan anggota Pengawal Kebangsaan di Varennes
Penahanan keluarga diraja ketika Pelarian ke Varennes pada Jun 1791.
5 images

Etats-Généraux 1789

Perhimpunan besar menasihati urusan diraja Perancis iaitu États généraux ("Perdarjatan Agung") dihadiri tiga lapisan darjat masyarakat (états): Darjat Pertama (Premier état) diduduki paderi uskup, Darjat Kedua (Deuxieme état) diduduki kaum bangsawan yang kedua, dan Darjat Ketiga (Tiers état) diduduki rakyat kebanyakan selebihnya. Dalam pertemuan terakhir Etats-Généraux pada tahun 1614, setiap Darjat (État) mempunyai satu undian; dua undian daripada dua pihak Darjat cukup membatalkan undian ketiga. Parlement Paris khuatir bahawa pemerintah akan berusaha membahagikan kawasan undian Majlis untuk menipu hasil undian dipungut. Oleh sebab itu, mereka memutuskan bahawa susunan États harus sama dengan susunan yang ditetapkan undang-undang pada 1614. Aturan État 1614 ini berbeza dari apa yang dilaksanakan Majlis daerah; di daerah-daerah, masing-masing anggota memiliki satu suara dan État Ketiga memiliki anggota dua kali ganda lebih banyak dari État lainnya. Sebagai contoh, di Dauphiné, Majlis daerah sepakat untuk menggandakan jumlah anggota État Ketiga, mengadakan pemilihan keanggotaan, dan memperbolehkan satu undian setiap seorang anggota, bukannya satu suara per etats.

Sebelum pertemuan berlangsung, sebuah kelompok Jawatankuasa Tiga Puluh (Société des Trente) dianggotai warga kota Paris liberal mula mendesak penglibatan suara wakil Darjat-Darjat ini. Kelompok ini sebahagian besarnya terdiri dari orang-orang kaya yang berpendapat bahawa aturan perwakilan di Etats-Généraux harus sama dengan sistem yang berlaku di Dauphiné. Kelompok ini beranggapan bahawa sistem lama sudah tidak efisien kerana "rakyatlah yang berdaulat". Necker lalu menggelar Sidang Kedua Majlis, yang menghasilkan keputusan penolakan terhadap usulan perwakilan ganda, dengan pungutan undian dimenangi 111-333.

Suatu pilihan raya umum diadakan pada musim bunga tahun 1789 di mana anggota yang dicalonkan sebagai wakil Darjat Ketiga hendaklah memenuhi kewajiban berikut:

  • dari kalangan lelaki warga Perancis secara kelahiran atau naturalisasi (être français ou naturalisé),
  • berusia lebih kurang 25 tahun (avoir 25 ans),
  • bermukim atau mempunyai kediaman di lokasi tempat pengundian berlangsung (domicilié au lieu de vote), serta,
  • nama terdaftar dalam senarai pembayar cukai kerajaan (compris au rôle des impositions)

Pilihan raya menghasilkan 1201 orang wakil terdiri daripada 291 orang kalangan bangsawan, 300 orang kalangan paderi, dan 610 orang kalangan kebanyakan. Untuk mengarahkan para wakil, "Dokumen Keluhan" (Cahiers de Doléances) disusun sebagai pengarah yang memuat daftar permasalahan yang dihadapi negara.

Risalah yang disebarkan oleh para bangsawan dan agamawan mendokong pembebasan rakyat dari kekangan kerajaan semakin merebak setelah penapisan akhbar dilonggarkan kerajaan. Abbé Sieyès, seorang paderi Katolik dan ahli teori, berpendapat mengenai betapa pentingnya keberadaan État Ketiga dalam risalahnya bertajuk Qu'est-ce que le tiers état? ("Apakah Darjat Ketiga?") yang terbit pada bulan Januari 1789 dengan tegasan masyhurnya: "Apa itu Darjat Ketiga? Segalanya. Apa posisinya dalam tatanan politik? Tidak ada. Ia ingin menjadi apa? Sesuatu."

États-Généraux kembali bersidang di Grands Salles des Menus-Plaisirs, Versailles pada tanggal 5 Mei 1789. Pertemuan ini dibuka dengan pidato selama tiga jam oleh Necker. Menurut angka rasmi yang dihimpunkan oleh Perhimpunan Kebangsaan Perancis, perhimpunan itu mempunyai 1,196 orang wakil: 598 daripada Darjat Ketiga, 308 daripada Darjat Kedua golongan paderi dan 290 daripada Darjat Pertama golongan bangsawan. Pertikaian utama segera timbul tentang sama ada undian harus dikira mengikut darjat, yang memberi satu undi kepada setiap darjat, atau mengikut kepala, yang memberi satu undi kepada setiap wakil. Darjat Ketiga menuntut agar semua wakil yang dilantik disahkan tidak secara diam-diam atau sulit tetapi secara menyeluruh; rundingan dengan États lainnya gagal mewujudkan hal ini. Golongan Darjat Ketiga menjadi tegang dengan kaum pendeta yang menjawab mereka memerlukan lebih banyak waktu untuk memutuskan. Necker pada akhirnya memutuskan bahawa setiap etat harus mengesahkan keanggotaan para wakil tersendiri dan "Raja bertindak sebagai perantara". Namun, rundingan dengan dua kelompok darjat lainnya tetap tidak berhasil.

Pada 10 Jun 1789, keanggotaan Abbé Sieyès dalam Darjat Kedua ditukar ke Darjat sekaligus beliau perlu mengikuti pertemuan sebagai communes (Rakyat Biasa). Beliau mengajak para wakil dua darjat lainnya untuk ikut serta, namun ajakannya ini tidak diendahkan. Etats Ketiga yang sekarang menjadi lebih radikal mendeklarasikan diri sebagai suatu Majlis Nasional yang tidak berasal dari etats, namun dari golongan rakyat jelata. Mereka mengajak yang lainnya untuk bergabung, namun menegaskan bahawa "dengan atau tanpa bantuan, mereka tetap akan mengatasi permasalahan bangsa." Pada 17 Jun, wakil Darjat Ketiga bersama beberapa orang paderi mengisytiharkan diri sebagai Perhimpunan Kebangsaan dan mendakwa mewakili negara yang tidak boleh dibahagikan mengikut darjat. Selepas tempat persidangan mereka ditutup pada 20 Jun, para wakil berkumpul di sebuah gelanggang tenis dan bersumpah tidak akan berpisah sehingga sebuah perlembagaan diwujudkan.


Dalam upayanya untuk mengawal tetap pergerakan wakil kerajaan, Raja Louis XVI memerintahkan pada 20 Jun agar penutupan Salle des États, tempat perhimpunan biasanya mengadakan pertemuan. Di saat yang bersamaan, cuaca tidak mengizinkan mereka bertemu di luar lalu diputuskan pertemuan mereka ke ruangan sebuah gealnggang tenis. Di tempat ini, mereka mengambil sumpah setia bahawa Majlis tidak akan berpisah hingga mereka dapat memberikan sebuah perlembagaan bagi Perancis. Majoriti perwakilan agamawan segera bergabung dengan Majlis, serta 47 orang dari kaum bangsawan. Pada tanggal 27 Jun, pihak kerajaan secara terang-terangan telah menunjukkan penentangannya terhadap Majlis, dan sejumlah besar pasukan tentera mula dihantarkan ke seluruh Paris dan Versailles. Sokongan bagi Majlis juga mengalir dari warga Paris dan dari kota-kota lainnya di Perancis. Pada tanggal 9 Julai, Majlis itu disusun kembali menjadi Perhimpunan Tubuh Kebangsaan.

Pembentukan Perhimpunan Kebangsaan memindahkan asas kesahan politik daripada raja dan darjat kepada negara. Namun, penyelesaian perlembagaan masih belum pasti. Sebahagian wakil menginginkan monarki berperlembagaan dengan dua dewan, manakala yang lain menyokong satu dewan dan hak veto diraja yang terhad. Di luar dewan, penumpuan tentera di sekitar Paris dan pemecatan Necker pada 11 Julai menimbulkan kebimbangan bahawa istana akan membubarkan perhimpunan secara paksa.

Bastille, Ketakutan Besar dan pemansuhan keistimewaan

Sementara itu, Necker semakin dimusuhi oleh keluarga kerajaan Perancis kerana dianggap memanipulasi pandangan orang awam secara terang-terangan. Permaisuri Marie Antoinette, adinda Raja Comte d'Artois, dan anggota konservatif lainnya dari dewan privy mendesak Raja agar memecat Necker sebagai penasihat kewangan. Pada 11 Julai 1789, setelah Necker menerbitkan laporan kewangan pemerintah kepada publik, Raja Louis memecatnya, dan segera menyusun struktur kementerian kewangan tidak lama kemudian. Kebanyakan warga Paris menganggap bahawa tindakan baginda secara tidak langsung ditujukan pada Majlis dan segera memulakan pemberontakan terbuka setelah mereka mendengar khabar tersebut pada keesokan harinya. Mereka juga khuatir terhadap banyaknya tentera – kebanyakan tentera asing yang ditugaskan untuk menutup Perhimpunan Tubuh Kebangsaan. Dalam sebuah pertemuan di Versailles, Majlis bersidang secara tanpa henti untuk berjaga-jaga jika nanti tempat pertemuan diserang secara tiba-tiba. Paris dengan cepat dipenuhi oleh berbagai rusuhan, kekacauan, dan penjarahan. Massa juga mendapat sokongan dari beberapa anggota Gardes Francaises yang dipersenjatakan dan dilatih dalam barisan tentera.

Pada tanggal 14 Julai, orang ramai di Paris menyerbu Hôtel des Invalides untuk mendapatkan senjata sebelum menuju ke kubu penjara diraja Bastille, yang juga dianggap sebagai simbol kekuasaan monarki. Setelah beberapa jam pertempuran, benteng ditumpaskan di tangan pemberontak pada pagi harinya. Gabenor Marquis Bernard de Launay menyerah diri saat berlangsungnya gencatan senjata untuk mencegah lebih ramai orang terkorban, namun De Launay dipukul dan ditikam mati, kepalanya dipenggal dan dipacakkan di hujung tombak untuk diarak-arakkan para perusuh sekeliling kota. Walaupun hanya menahan tujuh tahanan (empat pencuri, dua bangsawan yang ditahan kerana tindakan tidak bermoral, dan seorang disangka dibunuh), Bastille telah menjadi simbol kebencian terhadap Ancien Régime. Di Hôtel de Ville (balai kota), orang ramai menuduh prévôt des marchands (setara dengan datuk bandar) Jacques de Flesselles sebagai pengkhianat, dan membunuhnya. Kejadian-kejadian sebegini menghalang tindakan balas segera terhadap Perhimpunan dan menjadikan rakyat bersenjata sebagai kuasa politik yang tidak dapat diabaikan.

Di Paris, Jean Sylvain Bailly menjadi datuk bandar dan La Fayette mengetuai Pengawal Kebangsaan. Institusi perbandaran dan militia serupa muncul di banyak bandar. Di luar bandar, khabar angin bahawa golongan bangsawan mengupah perompak untuk memusnahkan tanaman mencetuskan Ketakutan Besar pada akhir Julai. Para petani membentuk militia, menyerang rumah bangsawan dan memusnahkan surat-surat catatan bayaran feudal wajib kerajaan.

Dalam sidang malam 4 Ogos, para wakil mengumumkan pemansuhan keistimewaan darjat, hak peribadi feudal, persepuluhan gereja dan pelbagai keistimewaan wilayah atau perbadanan. Walau bagaimanapun, bukan semua bayaran feudal dihapuskan serta-merta; sebahagiannya pada mulanya hanya boleh ditebus dengan pampasan. Pemansuhan lengkap baki hak feudal hanya diputuskan pada 17 Julai 1793. Oleh itu, “malam 4 Ogos” lebih tepat difahami sebagai permulaan undang-undang kepada keruntuhan tatanan feudal, bukannya satu pemansuhan serta-merta yang seragam.

Pengisytiharan hak dan penyusunan semula negara

Pada 26 Ogos 1789, Perhimpunan menerima Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara. Dokumen 17 fasal itu menyatakan bahawa manusia dilahirkan dan kekal bebas serta sama dari segi hak, bahawa kedaulatan pada asasnya terletak pada negara, dan bahawa undang-undang ialah ungkapan kehendak umum. Ia turut mengiktiraf kebebasan pendapat dan agama, keselamatan, harta, penentangan terhadap penindasan, anggapan tidak bersalah dan keperluan persetujuan terhadap cukai.

Prinsip sejagat dalam pengisytiharan itu tidak bermaksud semua penduduk memperoleh hak politik yang sama. Perlembagaan yang sedang digubal membezakan “warganegara aktif”, iaitu lelaki yang memenuhi syarat tertentu dan boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya, daripada “warganegara pasif”. Wanita, pekerja domestik dan sejumlah lelaki miskin tidak diberi hak mengundi. Perbahasan tentang siapa yang layak menjadi warganegara menunjukkan ketegangan antara bahasa hak sejagat dengan amalan perwakilan yang terhad.

Perhimpunan menyusun semula kerajaan tempatan dengan menggantikan wilayah bersejarah dan bidang kuasa yang bertindih dengan 83 département pada 1790. Setiap département dibahagikan kepada unit yang lebih kecil dan ditadbir melalui badan terpilih. Pembaharuan ini bertujuan mewujudkan pentadbiran yang lebih seragam serta mengurangkan keistimewaan wilayah, walaupun pelaksanaannya bergantung pada pegawai tempatan dan berbeza mengikut kawasan.

Dalam bidang ekonomi, Perhimpunan menghapuskan banyak sekatan korporat dan hak monopoli. Undang-undang Le Chapelier pada Jun 1791 melarang persatuan pekerja dan tindakan kolektif seperti mogok, atas alasan bahawa kepentingan korporat tidak boleh berdiri antara individu dengan negara. Langkah ini memperluas kebebasan kontrak tetapi mengehadkan keupayaan pekerja mengatur diri.

Hari-hari Oktober dan pemindahan istana

Kekurangan roti dan khabar angin tentang penghinaan terhadap kokad triwarna mendorong ribuan wanita pasar serta penyokong lain berarak dari Paris ke Versailles pada 5 Oktober 1789. Mereka menuntut bekalan makanan dan pengesahan keputusan Perhimpunan. La Fayette dan Pengawal Kebangsaan menyusul perarakan itu. Selepas orang ramai memasuki kawasan istana pada keesokan harinya dan beberapa pengawal terbunuh, Louis XVI bersetuju berpindah bersama keluarganya ke Istana Tuileries di Paris.

Pemindahan tersebut meletakkan raja dan Perhimpunan lebih dekat kepada penduduk serta tekanan politik Paris. Perarakan itu juga memperlihatkan peranan langsung wanita dalam revolusi, khususnya dalam isu bekalan makanan, walaupun mereka tetap tidak memperoleh kewarganegaraan politik yang setara.

Gereja dan Perlembagaan Sivil Paderi

Gereja Katolik merupakan institusi agama rasmi serta pemilik tanah yang besar. Pada 2 November 1789, Perhimpunan meletakkan harta gereja “untuk kegunaan negara” bagi menyokong kewangan awam dan menjamin pembayaran kos ibadat serta kebajikan. Penjualan harta kebangsaan kemudiannya memberikan aset kepada kerajaan, tetapi hasilnya tidak menyelesaikan krisis fiskal. Wang kertas assignat, yang pada mulanya disandarkan pada tanah tersebut, beransur-ansur menjadi alat pembayaran dan mengalami penyusutan nilai apabila penerbitannya meningkat.

Pada 13 Februari 1790, Perhimpunan memansuhkan ikrar biara dan kebanyakan pertubuhan keagamaan kontemplatif, sambil mengekalkan institusi yang menjalankan pendidikan atau kebajikan. Perlembagaan Sivil Paderi, yang diterima pada 12 Julai, menyusun semula keuskupan mengikut département, menjadikan paderi dan uskup pegawai bergaji negara, serta menetapkan pemilihan mereka melalui proses awam. Pembaharuan itu dilaksanakan tanpa persetujuan Paus dan mengubah secara mendalam hubungan Gereja Perancis dengan Rom.

Sumpah kesetiaan yang diwajibkan kepada paderi pada akhir 1790 membahagikan gereja kepada paderi “berperlembagaan” yang bersumpah dan paderi “enggan bersumpah” yang menolak. Perpecahan itu berbeza mengikut wilayah dan menjadi salah satu punca terpenting penentangan terhadap revolusi, terutamanya di kawasan yang mempunyai jaringan paroki kukuh. Kecaman Paus Pius VI terhadap pembaharuan tersebut pada 1791 mengukuhkan perpecahan agama dan politik.

Varennes, Champ-de-Mars dan Perlembagaan 1791

Pada malam 20 Jun 1791, Louis XVI dan keluarganya meninggalkan Paris dengan tujuan mencapai kawasan tentera yang setia berhampiran sempadan timur. Mereka dikenal pasti dan ditahan di Varennes pada 21 Jun sebelum dibawa pulang ke Paris. Cubaan melarikan diri itu merosakkan kepercayaan terhadap raja dan menguatkan hujah bahawa monarki tidak boleh diselaraskan dengan revolusi.

Golongan sederhana dalam Perhimpunan masih mahu mengekalkan monarki berperlembagaan dan menerima penjelasan bahawa raja telah “diculik”. Sebaliknya, golongan republik mengedarkan petisyen menuntut penyingkirannya. Pada 17 Julai, Pengawal Kebangsaan menembak penunjuk perasaan di Champ-de-Mars, menyebabkan kematian yang bilangannya tidak dapat dipastikan. Peristiwa itu memperdalam perpecahan antara monarkis perlembagaan, yang banyak bergabung dalam Kelab Feuillant, dengan republik radikal yang dikaitkan dengan Kelab Jakobin dan Kelab Cordeliers.

Perlembagaan 1791 diterima pada 3 September dan diperkenankan oleh raja pada 13 September. Ia mengekalkan raja sebagai ketua kuasa eksekutif dengan veto penangguhan, manakala kuasa perundangan diberikan kepada sebuah dewan terpilih. Pilihan raya tidak langsung dan berasaskan syarat harta mengehadkan penyertaan. Perlembagaan juga melarang anggota Perhimpunan Penggubal daripada dipilih ke badan penggantinya, lalu Majlis Perundangan yang mula bersidang pada 1 Oktober terdiri sepenuhnya daripada anggota baharu.

Kejatuhan monarki dan pengasasan republik, 1791–1793

Lukisan pertempuran antara pemberontak dengan pengawal di hadapan Istana Tuileries
Serangan terhadap Istana Tuileries pada 10 Ogos 1792, dalam lukisan Jacques Bertaux.
Lukisan tentera dan artileri Perancis di medan Pertempuran Valmy
Pertempuran Valmy pada 20 September 1792 menghentikan kemaraan tentera Prusia.
Cetakan yang menunjukkan Louis XVI di atas pentas hukuman di hadapan orang ramai
Cetakan dari 1794 yang menggambarkan hukuman mati Louis XVI pada 21 Januari 1793.
3 images

Majlis Perundangan dan perang Eropah

Majlis Perundangan berdepan pertikaian tentang paderi enggan bersumpah, bangsawan yang berhijrah, kuasa veto raja dan ancaman ketenteraan. Di luar Perancis, pemerintah Austria dan Prusia bimbang terhadap kesan revolusi serta kedudukan keluarga diraja. Pengisytiharan Pillnitz pada Ogos 1791 mengisyaratkan kesediaan mereka bertindak sekiranya kuasa Eropah lain turut serta, tetapi di Perancis ia ditafsirkan sebagai ancaman campur tangan.

Golongan Girondin menyokong perang sebagai cara mempertahankan revolusi dan mendedahkan musuh dalaman, manakala Louis XVI berharap konflik dapat memulihkan kuasanya atau membawa bantuan asing. Maximilien Robespierre dan beberapa Jakobin menentang perang, dengan alasan bahawa perang akan menguatkan tentera dan kerajaan eksekutif. Atas cadangan raja, Perancis mengisytiharkan perang terhadap Raja Bohemia dan Hungary, iaitu pemerintah Habsburg, pada 20 April 1792. Prusia kemudian menyertai Austria, dan konflik berkembang menjadi Perang Revolusi Perancis.

Kempen awal Perancis dicirikan oleh kekalahan, kekurangan disiplin dan kecurigaan terhadap pegawai bangsawan. Veto raja terhadap langkah yang menyasarkan paderi enggan bersumpah dan cadangan menghimpunkan anggota militia persekutuan di Paris menambah ketegangan. Pada 20 Jun, penunjuk perasaan memasuki Tuileries dan mendesak raja menarik balik vetonya, tetapi baginda enggan.

Pemberontakan 10 Ogos dan pembentukan Konvensyen

Manifesto Brunswick pada 25 Julai 1792 mengancam Paris dengan tindakan keras sekiranya keluarga diraja dicederakan. Ancaman tersebut memperkukuh kepercayaan bahawa istana bekerjasama dengan musuh. Pada 10 Ogos, anggota militia persekutuan, sans-culottes dan bahagian-bahagian Komun Paris menyerang Tuileries. Majlis Perundangan menggantung raja dan memanggil pilihan raya bagi sebuah konvensyen yang akan menentukan bentuk kerajaan baharu.

Pada awal September, ketika tentera Prusia mara dan khabar angin tentang konspirasi penjara tersebar, kumpulan bersenjata membunuh lebih seribu tahanan di Paris dan beberapa tempat lain. Pembunuhan beramai-ramai September menunjukkan sejauh mana ketakutan terhadap pengkhianatan, perang dan keruntuhan kuasa kehakiman telah meradikalkan keadaan.

Tentera Perancis menghentikan kemaraan Prusia dalam Pertempuran Valmy pada 20 September. Pada hari yang sama, Konvensyen Kebangsaan mula bersidang; pada 21 September ia memansuhkan monarki, dan pada 22 September tarikh republik mula digunakan dalam dokumen rasmi. Pilihan raya Konvensyen menggunakan hak mengundi lelaki yang lebih luas berbanding sistem 1791, tanpa syarat cukai langsung pada peringkat asas, tetapi penyertaan sebenar rendah dan prosesnya masih tidak langsung.

Perbicaraan dan hukuman mati Louis XVI

Penemuan peti besi rahsia di Tuileries pada November 1792 memberikan bukti tentang hubungan raja dengan tokoh politik dan kuasa asing. Konvensyen membicarakan Louis, yang kini disebut Louis Capet, atas tuduhan berkomplot menentang kebebasan negara dan keselamatan awam. Para wakil hampir sebulat suara mendapati baginda bersalah, tetapi berpecah tentang rayuan kepada rakyat, penangguhan dan hukuman.

Louis XVI dihukum mati dengan gilotin pada 21 Januari 1793. Hukuman itu menamatkan kemungkinan kompromi dengan monarki lama dan membantu memperluas gabungan kuasa Eropah menentang Perancis. Marie Antoinette pula dibicarakan oleh Tribunal Revolusi dan dihukum mati pada 16 Oktober 1793.

Konvensyen Kebangsaan dan Pemerintahan Ganas, 1793–1794

Cetakan yang menunjukkan orang ramai menghadiri upacara di taman yang dihiasi monumen dan sepanduk
Perayaan Kultus Makhluk Tertinggi di Paris pada 8 Jun 1794.
Dokumen tulisan tangan mengenai dekri pemansuhan perhambaan oleh Konvensyen Kebangsaan
Dekri Konvensyen Kebangsaan bertarikh 4 Februari 1794 yang memansuhkan perhambaan di jajahan Perancis.
Cetakan yang menunjukkan Robespierre yang cedera ditahan oleh anggota bersenjata
Penahanan Maximilien Robespierre pada 27 Julai 1794 semasa Reaksi Thermidor.
3 images

Perang, pemberontakan dan persaingan puak

Konvensyen pada mulanya dikuasai oleh persaingan antara Girondin dan Montagnard, iaitu wakil radikal yang duduk di bahagian tinggi dewan dan bekerjasama lebih rapat dengan gerakan rakyat Paris. Di luar dewan terdapat kumpulan besar wakil yang dikenali sebagai Dataran atau Paya, yang sokongannya berubah mengikut isu. Persaingan tersebut melibatkan perang, peranan Paris, kawalan harga, nasib raja dan tahap pemusatan kuasa.

Pada Februari dan Mac 1793, perang diperluas kepada Britain, Republik Belanda dan Sepanyol. Kerahan tentera, penolakan terhadap dasar agama dan ketegangan tempatan menyumbang kepada Perang di Vendée, sementara penyingkiran wakil Girondin pada 2 Jun mencetuskan Pemberontakan federalis di beberapa bandar. Pemberontakan di Vendée berkembang menjadi perang saudara yang amat ganas, dengan kekejaman dilakukan oleh kedua-dua pihak dan penindasan besar-besaran oleh tentera republik.

Konvensyen menerima Perlembagaan Tahun I pada 24 Jun 1793. Dokumen itu mengandungi hak mengundi lelaki yang luas, hak mendapat bantuan dan pendidikan, serta hak untuk memberontak terhadap penindasan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya ditangguhkan sehingga keamanan dipulihkan dan akhirnya tidak pernah dikuatkuasakan.

Kerajaan revolusioner dan keganasan negara

Konvensyen menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Awam pada 6 April 1793 untuk menyelaraskan peperangan dan pentadbiran, serta memperkukuh Jawatankuasa Keselamatan Umum dan wakil dalam misi. Walaupun Robespierre menjadi anggota paling dikenali selepas menyertai jawatankuasa pada Julai, kerajaan revolusioner ialah suatu struktur kolektif yang melibatkan beberapa jawatankuasa, kementerian, Konvensyen, pihak berkuasa tempatan dan aktivis rakyat.

Undang-undang Suspek pada 17 September memperluas kategori orang yang boleh ditahan sebagai musuh revolusi. Tribunal Revolusi di Paris dan mahkamah luar biasa di wilayah menjatuhkan hukuman mati, sementara penindasan tentera serta pembunuhan tanpa perbicaraan berlaku di kawasan pemberontakan. Anggaran keseluruhan korban Pemerintahan Ganas berbeza mengikut takrif dan sumber; oleh itu angka bagi hukuman kehakiman, kematian dalam tahanan dan pembunuhan semasa perang saudara tidak harus digabungkan tanpa penjelasan.

Dasar keganasan berubah sepanjang tempoh tersebut. Pada musim bunga 1794, kerajaan menyingkirkan kumpulan Hébertis yang menuntut radikalisasi lanjut dan kumpulan yang dikaitkan dengan Georges Danton yang mahu mengurangkan keganasan. Undang-undang 22 Prairial pada 10 Jun 1794 menyekat pembelaan tertuduh dan mempercepat perbicaraan. Menurut Perhimpunan Kebangsaan Perancis, 1,376 orang dihukum mati di Paris dalam 47 hari yang dikenali sebagai “Keganasan Besar”, tetapi angka ini tidak mewakili semua korban revolusi atau perang saudara.

Ekonomi perang, agama dan perubahan sosial

Kerajaan menghadapi inflasi, kekurangan makanan dan tuntutan sans-culottes supaya harga dikawal. Konvensyen meluluskan Undang-undang Maksimum Am pada 29 September 1793, yang menetapkan had harga dan upah, disertai langkah pengambilan bekalan oleh kerajaan. Pada 23 Ogos, levée en masse menggerakkan sumber manusia serta ekonomi bagi pertahanan negara. Mobilisasi tersebut membantu membentuk tentera yang jauh lebih besar dan memperkukuh keupayaan republik menghadapi gabungan musuh.

Di sesetengah kawasan, aktivis melancarkan kempen penyahkristianan dengan menutup gereja, memusnahkan lambang agama dan menggantikan ibadat dengan upacara sivik. Konvensyen menerima takwim republik pada Oktober 1793, dengan pengiraan tahun bermula pada 22 September 1792. Robespierre menentang ateisme militan dan menyokong Kultus Makhluk Tertinggi, yang diraikan secara rasmi pada Jun 1794. Dasar agama tidak seragam di seluruh negara dan sering mencetuskan penentangan tempatan.

Konvensyen turut memperkenalkan beberapa perubahan sosial dan undang-undang. Pendaftaran kelahiran, perkahwinan dan kematian telah dipindahkan kepada pihak berkuasa awam pada September 1792, dan perceraian dibenarkan. Undang-undang warisan mengurangkan keistimewaan anak sulung serta memperluas pembahagian harta dalam keluarga. Walau bagaimanapun, pelaksanaan pembaharuan bergantung pada keadaan setempat dan sebahagiannya diubah selepas 1794 atau pada zaman Napoleon.

Jajahan, perhambaan dan Saint-Domingue

Bahasa hak sejagat dalam revolusi menimbulkan persoalan segera tentang status orang bebas berwarna dan hamba di jajahan. Pedagang dan pemilik ladang mempertahankan perhambaan, manakala Société des amis des Noirs dan tokoh antiperhambaan menuntut pembaharuan. Di Saint-Domingue, jajahan gula terkaya Perancis, pertikaian antara orang putih, orang bebas berwarna dan kerajaan kolonial disusuli pemberontakan hamba yang bermula pada Ogos 1791 dan berkembang menjadi Revolusi Haiti.

Pesuruhjaya republik Léger-Félicité Sonthonax mengisytiharkan pembebasan di bahagian utara Saint-Domingue pada 29 Ogos 1793 dalam konteks perang dan pemberontakan. Pada 4 Februari 1794, Konvensyen memansuhkan perhambaan di jajahan Perancis. Dekri itu tidak dilaksanakan secara seragam, dan pemansuhan tidak diterima di Île Bourbon serta kepulauan Mascarenes. Kerajaan Napoleon membatalkan pemansuhan itu pada 1802 dan melancarkan ekspedisi untuk memulihkan kuasa Perancis di Saint-Domingue. Tentera Perancis gagal, dan Saint-Domingue mengisytiharkan kemerdekaan sebagai Haiti pada 1 Januari 1804.

Reaksi Thermidor

Menjelang Julai 1794, kemenangan tentera mengurangkan sebahagian ancaman luar, sementara anggota Konvensyen bimbang menjadi sasaran penindasan seterusnya. Pada 9 Thermidor Tahun II, bersamaan 27 Julai 1794, Robespierre, Louis Antoine de Saint-Just dan sekutu mereka ditangkap selepas perbalahan di dewan. Mereka dihukum mati tanpa perbicaraan penuh pada keesokan harinya.

Reaksi Thermidor tidak serta-merta menamatkan semua keganasan, tetapi mengubah imbangan kuasa. Kuasa Jawatankuasa Keselamatan Awam dikurangkan, Kelab Jakobin ditutup, tahanan dibebaskan dan kawalan harga beransur-ansur ditarik balik. Di beberapa kawasan, bekas aktivis Jakobin dan pihak yang dikaitkan dengan Pemerintahan Ganas menjadi sasaran Keganasan Putih Pertama. Pemansuhan kawalan Maksimum ketika pengeluaran dan bekalan masih terganggu menyumbang kepada inflasi serta kesengsaraan bandar pada musim sejuk 1794–1795.

Konvensyen Thermidor dan Direktorat, 1794–1799

Lukisan Napoleon Bonaparte dikelilingi anggota Dewan Lima Ratus di Saint-Cloud
Napoleon Bonaparte berhadapan dengan anggota Dewan Lima Ratus semasa Rampasan kuasa 18 Brumaire.

Perlembagaan Tahun III

Konvensyen menggubal Perlembagaan Tahun III untuk mengelakkan kedua-dua pemerintahan seorang tokoh dan demokrasi langsung yang dikaitkan dengan Tahun II. Perlembagaan itu diterima pada 22 Ogos 1795 dan mewujudkan badan perundangan dwidewan: Dewan Lima Ratus, yang mencadangkan undang-undang, dan Dewan Orang Tua, yang menerima atau menolaknya. Kuasa eksekutif diserahkan kepada lima orang pengarah yang dipilih oleh Dewan Orang Tua daripada senarai yang dikemukakan Dewan Lima Ratus.

Hak mengundi kembali berasaskan syarat harta dan pilihan raya dua peringkat. Peraturan “dua pertiga” menetapkan bahawa dua pertiga anggota badan perundangan pertama mesti datang daripada bekas anggota Konvensyen, bagi mencegah kemenangan besar golongan diraja. Penentang peraturan itu melancarkan pemberontakan di Paris pada 13 Vendémiaire Tahun IV, yang dipatahkan oleh tentera di bawah arahan Paul Barras dengan bantuan Napoleon Bonaparte.

Krisis ekonomi, rampasan kuasa dan peperangan

Direktorat mula berkuasa pada akhir Oktober 1795. Rejim itu cuba menstabilkan republik tanpa kembali kepada dasar radikal Tahun II atau monarki. Namun, ia mewarisi inflasi, kekurangan makanan, hutang, pentadbiran yang lemah dan perang yang berterusan. Nilai assignat runtuh, percubaan menggantikannya dengan mandat territorial gagal, dan kerajaan kembali kepada mata wang logam sambil menggunakan cukai, pinjaman paksa serta sumbangan daripada wilayah yang ditakluki.

Ancaman politik datang daripada kedua-dua pihak. Gracchus Babeuf dan sekutunya merancang Konspirasi Kesamarataan pada 1796 untuk menggulingkan Direktorat dan melaksanakan pemilikan yang lebih sama rata; rancangan itu dipatahkan dan Babeuf dihukum mati. Pada 18 Fructidor Tahun V, bersamaan 4 September 1797, para pengarah yang dibantu tentera membatalkan keputusan pilihan raya di banyak kawasan serta menyingkirkan wakil yang dianggap berhaluan diraja. Rampasan kuasa lain pada 1798 dan 1799 menunjukkan bahawa aturan perlembagaan tidak menyediakan cara yang kukuh untuk menyelesaikan konflik antara eksekutif dengan badan perundangan.

Kejayaan tentera menjadi sumber hasil dan kesahan bagi rejim. Kempen Napoleon di Itali pada 1796–1797 memaksa Austria menerima Perjanjian Campo Formio dan menghasilkan republik saudara di wilayah yang diduduki. Namun, kempen Mesir pada 1798 tidak mencapai tujuan strategiknya, dan pembentukan Gabungan Kedua sekali lagi mengancam kedudukan Perancis di Eropah. Pengaruh jeneral dalam politik meningkat apabila kerajaan semakin bergantung pada tentera untuk mengawal pilihan raya, mematahkan pemberontakan dan membiayai negara.

Rampasan kuasa 18 Brumaire

Pada 1799, kekalahan tentera, krisis kewangan dan perubahan komposisi majlis melemahkan Direktorat. Emmanuel Joseph Sieyès, yang menjadi salah seorang pengarah, mencari seorang jeneral untuk menyokong penyusunan semula perlembagaan. Napoleon kembali dari Mesir pada Oktober dan menyertai rancangan bersama Sieyès, Roger Ducos, Talleyrand serta beberapa tokoh lain.

Pada 18 dan 19 Brumaire Tahun VIII, bersamaan 9 dan 10 November 1799, majlis dipindahkan ke Saint-Cloud atas alasan ancaman konspirasi. Napoleon menghadapi tentangan dalam Dewan Lima Ratus, tetapi tentera mengusir para wakil dan sekumpulan kecil anggota meluluskan penamatan Direktorat. Sebuah Konsulat sementara dibentuk, sebelum Perlembagaan Tahun VIII memusatkan kuasa sebenar pada Napoleon sebagai Konsul Pertama. Rampasan kuasa itu lazimnya dianggap menamatkan Revolusi Perancis sebagai suatu dekad pemerintahan revolusioner, walaupun banyak pembaharuan dan konflik revolusi berterusan di bawah Konsulat serta Empayar Perancis Pertama.

Institusi dan fasa politik

Pembahagian berikut merumuskan perubahan utama dalam bentuk negara dan institusi pusat. Tarikh peralihan kadangkala berbeza antara penerimaan undang-undang, mula bersidangnya badan baharu dan pelaksanaan sebenar.

Fasa utama Revolusi Perancis
Tempoh Bentuk negara Badan perundangan utama Kuasa eksekutif Ciri utama
Mei–Julai 1789 Monarki Rejim Lama dalam krisis États-Généraux, kemudian Perhimpunan Kebangsaan Louis XVI dan para menteri Perwakilan mengikut darjat digantikan dengan tuntutan bahawa negara diwakili sebagai satu badan; Sumpah Gelanggang Tenis mengikat para wakil kepada penggubalan perlembagaan.
Julai 1789–September 1791 Monarki dalam peralihan kepada sistem berperlembagaan Perhimpunan Kebangsaan Penggubal Raja dan menteri tertakluk pada undang-undang revolusioner yang berkembang Keistimewaan darjat dihapuskan, Pengisytiharan Hak diterima, pentadbiran disusun semula dan Perlembagaan 1791 digubal.
Oktober 1791–September 1792 Monarki berperlembagaan Majlis Perundangan Raja dengan kuasa veto penangguhan dan menteri yang dilantiknya Konflik tentang veto, paderi dan penghijrah; perang bermula pada April 1792; raja digantung selepas pemberontakan 10 Ogos.
September 1792–Oktober 1795 Republik Pertama Konvensyen Kebangsaan Majlis Eksekutif, kemudian jawatankuasa Konvensyen termasuk Jawatankuasa Keselamatan Awam Monarki dihapuskan; Louis XVI dihukum mati; perang dan pemberontakan membawa kepada kerajaan revolusioner, Pemerintahan Ganas dan Reaksi Thermidor.
Oktober 1795–November 1799 Republik Pertama di bawah Direktorat Dewan Lima Ratus dan Dewan Orang Tua Lima orang pengarah Perlembagaan Tahun III, hak mengundi berasaskan harta, krisis kewangan, rampasan kuasa dan peningkatan pengaruh tentera; diakhiri oleh 18 Brumaire.

Perubahan politik, sosial dan budaya

Potret Olympe de Gouges memakai gaun dan hiasan kepala putih
Olympe de Gouges, penulis Pengisytiharan Hak Wanita dan Warganegara pada 1791.
Wang kertas assignat Perancis bertarikh 1793 dengan tulisan dan lambang republik
Sekeping wang kertas assignat yang dikeluarkan semasa Revolusi Perancis pada 1793.
Kalendar berhias yang menunjukkan bulan dan tarikh dalam takwim republik Perancis
Sebuah gambaran berhias takwim republik Perancis.
3 images

Kewarganegaraan dan penyertaan politik

Revolusi menggantikan kedudukan penduduk sebagai rakyat yang tunduk kepada raja dengan konsep warganegara yang mempunyai hak dan kewajipan terhadap negara. Pilihan raya, petisyen, kelab politik, bahagian perbandaran, akhbar dan perhimpunan rakyat memperluas ruang politik. Beratus-ratus kelab berhubung dengan rangkaian Jakobin, sementara Cordeliers menekankan pengawasan rakyat terhadap wakil. Namun, tahap penyertaan berubah mengikut rejim, dan pihak berkuasa berulang kali membatasi kebebasan apabila merasakan ketenteraman atau kerajaan terancam.

Istilah “kiri” dan “kanan” politik berasal daripada susunan tempat duduk dalam perhimpunan revolusioner, apabila penyokong perubahan lebih besar cenderung duduk di sebelah kiri dan pembela kuasa raja di sebelah kanan. Pengelasan ini tidak harus digunakan secara terlalu kaku, kerana gabungan, pendirian dan makna politik berubah sepanjang dekad tersebut.

Republik menggunakan mobilisasi besar-besaran, pengawasan, sumpah sivik dan pendidikan politik untuk membina kesetiaan kepada negara. Pada masa yang sama, undang-undang terhadap suspek, penapisan, penutupan kelab dan pembatalan pilihan raya menunjukkan bahawa gagasan kedaulatan rakyat wujud bersama amalan pengecualian serta paksaan.

Wanita dan batas kesamarataan

Wanita mengambil bahagian sebagai penulis, pengemuka petisyen, penjual pasar, pekerja, penonton dewan, anggota perarakan dan penggerak kelab. Perarakan ke Versailles pada Oktober 1789 merupakan tindakan politik paling terkenal yang dipimpin wanita. Aktivis seperti Pauline Léon menuntut hak membawa senjata, manakala Claire Lacombe terlibat dalam Persatuan Wanita Republikan Revolusioner, yang ditubuhkan pada 1793.

Nicolas de Condorcet berhujah pada 1790 bahawa wanita harus memperoleh hak kewarganegaraan. Pada 1791, Olympe de Gouges menerbitkan Pengisytiharan Hak Wanita dan Warganegara, yang meniru struktur pengisytiharan 1789 sambil menuntut persamaan undang-undang, hak mengundi, akses kepada jawatan awam dan hak milik. Perhimpunan tidak menerimanya, dan hak mengundi kekal khusus kepada lelaki. De Gouges, yang menentang keganasan dan dikaitkan dengan Girondin, dihukum mati pada 3 November 1793.

Konvensyen melarang kelab politik wanita pada 30 Oktober 1793. Walaupun undang-undang perceraian dan perubahan warisan memberi sesetengah wanita ruang undang-undang yang lebih besar, Revolusi tidak menghapuskan kuasa patriarki dalam keluarga atau masyarakat. Hak politik wanita di Perancis hanya diiktiraf pada abad ke-20, maka penglibatan wanita semasa revolusi memperlihatkan kedua-dua peluasan dan batas konsep kewarganegaraan revolusioner.

Pentadbiran, undang-undang dan ekonomi

Pembentukan département, daerah, kanton dan komun mewujudkan rangka pentadbiran wilayah yang lebih seragam. Jawatan kehakiman yang dahulunya boleh dibeli dihapuskan, hakim dipilih untuk suatu tempoh, dan perbicaraan juri diperkenalkan bagi kes jenayah. Reformasi ini mengurangkan kepelbagaian bidang kuasa Rejim Lama, walaupun penyatuan undang-undang sivil yang menyeluruh hanya diselesaikan melalui Kod Napoleon pada 1804.

Pemansuhan keistimewaan, penjualan harta kebangsaan dan pembahagian harta gereja mengubah pemilikan tanah, tetapi manfaatnya tidak dibahagi secara sama rata. Pembeli yang mempunyai modal, termasuk petani berada, pedagang dan golongan profesional, lebih mampu memperoleh tanah. Revolusi mengukuhkan hak milik persendirian dan menghapuskan banyak sekatan korporat, namun perang, inflasi dan pengambilan bekalan mengganggu perdagangan serta kehidupan harian.

Dalam kewangan awam, revolusi menegaskan bahawa cukai memerlukan persetujuan wakil dan bahawa pegawai awam bertanggungjawab kepada negara. Namun, kerajaan revolusioner terus bergelut dengan kutipan cukai, hutang dan pembiayaan perang. Kejatuhan assignat pada pertengahan 1790-an menunjukkan hubungan rapat antara ketidakstabilan politik, peperangan dan krisis mata wang.

Agama, simbol dan ukuran masa

Hubungan antara agama dengan negara berubah beberapa kali. Perlembagaan Sivil Paderi cuba menjadikan Gereja Katolik sebahagian daripada susunan perlembagaan, penyahkristianan mengurangkan atau menghapuskan ibadat di sesetengah kawasan, manakala Direktorat mengamalkan pemisahan yang tidak lengkap dan mengawal kegiatan agama. Konkordat 1801 di bawah Napoleon kemudian memulihkan ibadat Katolik secara terbuka serta mengatur hubungan dengan Paus tanpa mengembalikan harta gereja yang telah dijual.

Kokad dan bendera triwarna, topi Frigia, pokok kebebasan, Marianne dan lagu La Marseillaise berkembang sebagai simbol politik. Ungkapan “Liberté, Égalité, Fraternité” muncul dalam wacana revolusioner, tetapi cadangan Robespierre pada Disember 1790 untuk meletakkannya pada pakaian dan panji Pengawal Kebangsaan tidak diterima. Triad itu hanya menjadi prinsip rasmi Republik pada 1848 dan kemudian diperkukuh di bawah Republik Ketiga.

Takwim republik menggantikan minggu tujuh hari dengan dekad sepuluh hari dan memberi nama baharu kepada bulan berdasarkan musim serta pertanian. Ia digunakan secara rasmi dari 1793 hingga 1805, walaupun pelaksanaannya tidak seragam. Usaha menyeragamkan ukuran pula membawa kepada perkembangan sistem metrik, yang berasaskan unit perpuluhan dan kemudiannya menjadi salah satu warisan revolusi yang paling meluas di peringkat antarabangsa.

Kesan dan warisan

Perancis

Revolusi menghapuskan masyarakat darjat sebagai asas undang-undang dan menamatkan kebanyakan hak feudal. Prinsip persamaan undang-undang, kedaulatan negara, kerjaya terbuka kepada bakat dan pentadbiran wilayah yang seragam bertahan melalui pertukaran rejim. Napoleon mengekalkan banyak unsur tersebut sambil mengehadkan kebebasan politik, memusatkan pentadbiran dan membina pemerintahan peribadi.

Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara terus mempunyai kedudukan undang-undang dalam Perancis moden sebagai sebahagian daripada blok perlembagaan yang digunakan oleh Majlis Perlembagaan Perancis. Namun, tafsiran hak revolusioner berkembang melalui perjuangan kemudian tentang perhambaan, hak pekerja, kebebasan beragama, republik dan hak politik wanita.

Ingatan terhadap revolusi kekal dipertikaikan. 14 Julai menjadi hari kebangsaan Perancis pada 1880. Dalam ingatan republik, tarikh itu menghubungkan Serbuan Bastille pada 1789 dengan Fête de la Fédération pada 1790. Tokoh serta peristiwa revolusi digunakan oleh pelbagai tradisi politik, daripada republikan dan sosialis kepada liberal, Katolik serta konservatif, bagi menyokong tafsiran yang berbeza tentang negara Perancis.

Eropah, Atlantik dan dunia

Perang membawa undang-undang serta institusi Perancis ke Belgium, Belanda, Itali, Switzerland, wilayah Jerman dan tempat lain. Di sesetengah kawasan, pendudukan menghapuskan hak feudal, membuka jawatan awam dan menyusun semula pentadbiran; di tempat lain, cukai, pengambilan tentera dan dominasi Perancis menimbulkan penentangan. Revolusi dan peperangan Napoleon turut mempercepat perkembangan nasionalisme serta pembentukan negara moden, tetapi kesannya berbeza mengikut masyarakat setempat.

Dalam dunia Atlantik, revolusi berinteraksi dengan pemberontakan dan perdebatan di Caribbean, Amerika Latin, Britain, Ireland dan Amerika Utara. Revolusi Haiti mencabar batas pernyataan hak Eropah dengan menghapuskan perhambaan serta pemerintahan kolonial melalui tindakan bekas hamba. Pada masa yang sama, ketakutan terhadap keganasan, pengambilalihan harta dan perang menghasilkan gerakan balas konservatif serta undang-undang penindasan di beberapa negara.

Revolusi menyediakan perbendaharaan konsep, simbol dan kaedah politik yang digunakan semula dalam Revolusi 1830, Revolusi 1848 serta gerakan republik dan sosial pada abad ke-19. Warisannya bukan satu garis kemajuan yang mudah, kerana prinsip kebebasan dan kesamarataan wujud bersama peperangan besar-besaran, penindasan politik, pemerintahan kolonial dan akhirnya kediktatoran Napoleon.

Pensejarahan

Tafsiran Revolusi Perancis berubah mengikut zaman dan pendekatan. Sejarawan abad ke-19 sering menumpukan tokoh, perlembagaan, perjuangan republik dan pengalaman keganasan. Pada abad ke-20, tafsiran sosial yang dikaitkan dengan Georges Lefebvre dan Albert Soboul menekankan konflik antara bangsawan, borjuis, petani dan sans-culottes serta melihat revolusi sebagai peralihan daripada feudalisme kepada masyarakat borjuis.

Pendekatan revisionis yang berkembang sejak 1960-an dan 1970-an mempersoalkan model kelas yang terlalu tersusun. Tokoh seperti François Furet memberi lebih perhatian kepada budaya politik, bahasa kedaulatan dan dinamika radikalisasi. Penyelidikan kemudian menggabungkan sejarah politik, sosial, budaya, gender, agama, alam sekitar, peperangan dan empayar, serta menempatkan revolusi dalam konteks Atlantik dan global. Oleh itu, tiada satu penjelasan tunggal diterima bagi punca, sifat atau makna jangka panjang revolusi.

Lihat juga

Rujukan

Karya rujukan

  • Andress, David, penyunting (2015). The Oxford Handbook of the French Revolution (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. doi:10.1093/oxfordhb/9780199639748.001.0001.
  • Doyle, William (2002). The Oxford History of the French Revolution (dalam bahasa Inggeris) (ed. 2). Oxford University Press.
  • McPhee, Peter (2001). The French Revolution 1789–1799 (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. doi:10.1093/oso/9780199244140.001.0001.

Bacaan lanjut

  • Desan, Suzanne (2004). The Family on Trial in Revolutionary France (dalam bahasa Inggeris). University of California Press.
  • Hunt, Lynn (1984). Politics, Culture, and Class in the French Revolution (dalam bahasa Inggeris). University of California Press.
  • Tackett, Timothy (2003). When the King Took Flight (dalam bahasa Inggeris). Harvard University Press.

Pautan luar

Read next

In 173 languages

msAfrikaansAlemannischአማርኛaragonésÆngliscअंगिकाالعربيةالدارجةمصرىঅসমীয়াasturianuаварKotavaazərbaycancaتۆرکجهбашҡортсаBasa BaliBoarischžemaitėškaбеларуская (тарашкевіца)беларускаяBetawiбългарскиभोजपुरीবাংলাbrezhonegbosanskiбуряадcatalàнохчийнCebuanoکوردیqırımtatarcačeštinaчӑвашлаCymraegdanskDeutschΕλληνικάEnglishEsperantoespañoleestieuskaraestremeñuفارسیsuomivõroføroysktfrançaisNordfriiskfurlanFryskGaeilgekriyòl gwiyannenGàidhliggalegoAvañe'ẽગુજરાતીGaelgעבריתहिन्दीFiji HindihrvatskiKreyòl ayisyenmagyarհայերենinterlinguaBahasa IndonesiaInterlingueIlokanoIdoíslenskamedžuslovjanskyitaliano日本語PatoisJawaქართულიQaraqalpaqshaKabɩyɛқазақшаភាសាខ្មែរಕನ್ನಡ한국어къарачай-малкъарکٲشُرkurdîkernowekкыргызчаLatinaLëtzebuergeschлезгиLingua Franca NovaLimburgsLigureLadinlombardlietuviųlatviešuMadhurâMinangkabauмакедонскиമലയാളംмонголमराठीMaltiMirandésမြန်မာဘာသာمازِرونیNapulitanoPlattdüütschनेपालीनेपाल भाषाNederlandsnorsk nynorsknorskoccitanਪੰਜਾਬੀPapiamentuPicardpolskiPiemontèisپنجابیپښتوportuguêsrumantschromânăрусскийрусиньскыйсаха тылаsardusicilianuScotsسنڌيsrpskohrvatski / српскохрватскиTaclḥitසිංහලSimple Englishslovenčinaسرائیکیslovenščinashqipсрпски / srpskisvenskaKiswahiliślůnskiதமிழ்తెలుగుไทยTagalogtoki ponaTürkçeтатарча / tatarçaукраїнськаاردوoʻzbekcha / ўзбекчаvènetovepsän kel’Tiếng ViệtWest-VlamswalonWinaray吴语მარგალურიייִדישYorùbáVahcuengh文言閩南語 / Bân-lâm-gí粵語中文

Text from Wikipedia, CC BY-SA 4.0 · Source article