Kota Bebas Danzig (Jerman: Freie Stadt Danzig; Poland: Wolne Miasto Gdańsk; Bahasa Kashubian: Wòlny Gard Gduńsk) adalah negara kota semi-autonomi yang wujud antara tahun 1920 dan 1939, merangkumi pelabuhan Laut Baltik Danzig (kini Gdańsk, Poland) dan hampir 200 bandar dan kampung di kawasan sekitarnya. Ia ditubuhkan pada 15 November 1920 sesuai dengan syarat-syarat Perkara 100 (Seksyen XI dari Bahagian III) Persetiaan Versailles tahun 1919 selepas tamatnya Perang Dunia I.
Kota Bebas merangkumi Danzig dan perbandaran, perkampungan, dan penempatan berdekatan yang dihuni oleh orang Jerman. Seperti yang dinyatakan dalam perjanjian itu, wilayah tersebut harus kekal terpisah dari Republik Jerman pasca perang dan dari Republik Poland yang baru merdeka, tetapi ia bukan negara berdaulat. Kota Bebas berada dibawah perlindungan Liga Bangsa-Bangsa dan bergantung pada kesatuan kastam dengan Poland.
Poland diberi hak-hak tertentu yang berkaitan komunikasi, landasan keretapi dan kemudahan pelabuhan dalam kota itu. Kota Bebas ditubuhkan untuk memberi Poland akses ke pelabuhan yang cukup besar. Pada tahun 1938, penduduk Kota Bebas yang berjumlah 410,000 adalah 98% rakyat Jerman, 1% Poland dan 1% yang lain. Dalam pilihanraya Perhimpunan Perlembagaan 1920, Parti Polish mendapat lebih 6% undi, tetapi kemudian peratus undian menurun ke 3%.
Pada tahun 1921, Poland mula membangunkan bandar pelabuhan Gdynia, waktu itu sebuah bandar nelayan yang sederhana. Pelabuhan yang sama sekali baru ini di utara Gdansk telah didirikan diatas wilayah yang diberikan pada tahun 1919, yang dipanggil Koridor Poland. Menjelang tahun 1933, perdagangan yang melalui Gdynia melebihi yang dimiliki Danzig. Bagaimanapun, Poland enggan melepaskan perdagangan dan hak-hak lain yang diberikan kepadanya, lantas meminggirkan penduduk Danzig.
Pada tahun 1936, majoriti senat kota adalah ahli Nazi tempatan, dan hasutan untuk bergabung semula dengan Jerman semakin membuak-buak. Ramai orang Yahudi melarikan diri dari antisemitisme, penganiayaan, dan penindasan Jerman. Selepas Pencerobohan Poland pada September 1939, pihak Nazi membubarkan Kota Bebas dan disatukan kedalam Reichsgau Danzig-Prusia Barat yang baru dibentuk. Pihak Nazi menggolongkan orang Poland dan Yahudi yang tinggal didalam kota itu sebagai manusia bawahan, menindas mereka dengan diskriminasi, buruh paksa, dan penghapusan. Ramai yang dibunuh di kem tahanan Nazi, termasuk berhampiran Stutthof (kini Sztutowo, Poland).
Semasa penaklukan kota tersebut oleh Tentera Soviet pada awal tahun 1945, sebilangan besar warga kota melarikan diri atau terbunuh. Pada tahun 1945, kota tersebut secara rasminya menjadi sebahagian dari Poland sesuai dengan Perjanjian Potsdam. Dalam tempoh selepas perang, ramai rakyat Jerman yang terselamat telah diusir ke Barat atau Jerman Timur, manakala ahli minoriti etnik Poland sebelum perang mula kembali dan peneroka baru Poland mula datang. Gdańsk mengalami kekurangan penduduk akibat kejadian ini dan tidak pulih sehingga akhir tahun 1950an.
Lihat juga
- Pentadbiran Danzig sebelum April 1945
- Allgemeiner Arbeiterverband der Freien Stadt Danzig
- Kawasan yang diilhak oleh Jerman Nazi
- Koridor Poland
- Persatuan Penyelidikan Danzig
- Alfons Flisykowski
- Sejarah Gdańsk
Bacaan lanjut
- Clark, Elizabeth Morrow (1997). "The Free City of Danzig: Borderland, Hansestadt or Social Democracy?". The Polish Review. 42 (3): 259–276. JSTOR 25779004. - Available on JSTOR
- Tadeusz Maciejewski and Maja Maciejewska-Szałas. 2019. "Constitutional Systems of Free European States (1918–1939)." in Modernisation, National Identity and Legal Instrumentalism. Brill.
- Olzewska, Izabela (2013). "Cultural Identity of Citizens of Gdańsk from an Ethnolinguistic Perspective on the Basis of Chosen Texts of the Free City of Danzig". Colloquia Humanistica. Institute of Slavic Studies, Polish Academy of Sciences (2): 133–157. doi:10.11649/ch.2013.007. - Polish abstract title: "Tożsamości kulturowa gdańszczan w ujęciu etnolingwistycznym na przykładzie wybranych tekstów publicystycznych Wolnego Miasta Gdańska "
- Stilke, George. "A Short Guide through the Free City of Danzig". - At Pomeranian Digital Library (Poland: Pomorska Biblioteka Cyfrowa, Jerman: Pommern Digitale Bibliothek, Templat:Lang-csb)
