Burung katib (Arab: كاتِب, rumi: kātib, lit. 'penulis, setiausaha', bahasa Inggeris: secretary bird, "burung setiausaha/sekretaris"; nama saintifik: Sagittarius serpentarius) ialah spesies burung pemangsa daratan besar yang biasanya terdapat di padang rumput terbuka dan savana kawasan pinggir Sahara benua Afrika. Spesies ini tergolong dalam keluarga Sagittariidae tersendiri dalam ordo Accipitriformes yang juga termasuk banyak burung pemangsa diurnal lain seperti burung helang dan burung nasar.
Burung ini dikenali dari penampilannya berhias bulu hitam di kepala serta cara pemangsaannya yang mencengkam dan memijak hentak mangsa diburu sehingga mati.
Spesies ini telah dikelaskan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi kerana jumlah populasi setempat yang ditinjauan mengalami penurunan mendadak barangkali akibat kemusnahan habitat; taburan sebanyak antara 6,700 hingga 67,000 ekor burung ini dianggarkan masih dapat ditemukan pada tahun 2016.
Penamaan

Kedua-dua nama bahasa Arab dan bahasa Inggeris untuk burung ini datang dari bulu panjang yang menghiasi tengkuk burung itu mirip penampilan seorang jurutulis atau "katib" (juga bermaksud "setiausaha/sekretaris" dalam bahasa Arab) yang memakaikan pena bulu pada belakang telinganya.
Ahli naturalis Belanda Arnout Vosmaer yang menggambarkan suatu spesimen hidup burung ini di Belanda tahun 1769 dihantar dari Tanjung Harapan dua tahun sebelumnya oleh seorang pegawai Syarikat Hindia Timur mencadangkan bahawa spesies itu dipanggil "sagittarius" oleh petani Belanda yang menjinakkan burung itu untuk memburu haiwan perosak di sekitar ladang mereka kerana gaya berjalan ia mirip seorang pemanah lalu juga dipelatkan sebagai secretarius (asas kepada "sekretaris" serapan bahasa Belanda). Ian Glenn dari University of the Free State pula menyanggah pendapat ini lalu mengusulkan bahawa sagittarius sebaliknya yang disalah dengar dari sebutan secretarius.
Ciri
Burung ini dapat dikenali serta-merta kerana badannya yang sangat besar dengan kepala dan badan mirip seekor helang tetapi berkaki panjang seperti burung jenjang. Tinggi ia berdiri kira-kira 1.3 meter dengan panjang antara 1.1 hingga 1.5 meter serta lebar sayap antara 1.9–2.1 meter. Berat timbangannya antara 3.74–4.27 kilogram berpurata 4.05 kg. Purata tarsus nya 31 sm manakala ekornya memanjang antara 57–85 sm sangat menonjol daripada mana-mana spesies burung pemangsa lain.
Leher burung katib tidak terlalu panjang bahkan hanya dapat menurun ke paras sendi intertarsal, maka ia terpaksa membongkok agar sampai ke tanah.
Tabiat

Pemakanan
Burung katib banyak memburu di daratan tidak seperti kebanyakan burung pemangsa lain, ia memburu secara berjalan kaki baik secara berpasangan dan kadang-kadang secara berkelompok dalam keluarga, menguntit mangsa dalam habitatnya dengan langkah-langkah panjang. Ia sering memangsakan pelbagai jenis haiwan termasuk serangga, mamalia mulai dari sekecil tikus sampai kelinci dan rubah, ketam, kadal, ular (terutamanya yang jenis berbisa seperti ular tedung) kura-kura, burung baik yang anak atau masih dalam telur malah kadangkala juga bangkai haiwan dalam tinggalan semak terbakar. Herbivora yang berukuran besar umumnya tidak diburu, meskipun ada beberapa laporan pemerhatian mengenai burung ini yang didapati membunuh anak rusa dan anak cheetah.
Haiwan-haiwan yang dimangsakan di semak samun sering dihalau burung katib secara menghentak kaki sekelilingnya. Cara menghentak ini jugalah yang digunakan untuk memijak sehingga lumpuh atau mati terutamanya haiwan kecil seperti kadal dan ular.
Burung katib memiliki saluran pencernaan relatif pendek dibandingkan dengan burung pemangsa besar sejenis lain seperti Kori bustard. Hulu usus (foregut) ia mampu mencerna sejumlah besar daging dalam waktu singkat tanpa perlunya mengisar mamah makanan dalam saluran pencernaan untuk jangka masa yang panjang. Temboloknya melebar dan hempedalnya tidak berotot seperti mana burung sejenis. Usus besar tidak memiliki sekum ada sedikit kebutuhan untuk pencernaan fermentatif dari bahan tanaman.
Pembiakan
Burung katib berpasangan secara satu-satu. Jantan dan betina saling menarik perhatian dengan mengepak terbang bersama enjulang tinggi dengan pola penerbangan bergelombang dan memanggil dengan suara parau. Burung jantan dan betina juga melakukan tarian ritual di tanah dengan saling mengejar satu sama lain dengan sayap mereka ke sana kemari mirip cara mengejar mangsa. Pasangan burung ini mengawan baik di tanah mahupun di pokok akasia yang turut menjadi tempat persarangan.
Sarang burung dibina pada pokok-pokok akasia terletak 5–7 meter tinggi dari tanah dengan berukuran sekitar 2.5 m lebar dan 30 sm dalamnya berupa suatu wadah diperbuat daripada reranting kayu. Sebanyak dua hingga tiga biji telur bujur berwarna hijau pucat ditelurkan selama dua sampai tiga hari, meskipun telur ketiga sering kalinya gagal tersenyawa. Telu-telur ini diieram terutama oleh burung betina selama 45 hari
Anak burung yang berbulu halus dan tebal dapat makan sendiri setelah 40 hari, meskipun orang tua tetap memberi makan anak setelah waktu itu. Setelah 60 hari, para burung remaja mulai mengepakkan sayap mereka, dan pada hari ke-65-80 mampu untuk melompat terbang, dengan cara melompat keluar dari sarang atau terjun dengan mengepak-epakkan sayap kuat-kuat sampai mendarat di tanah. Setelah waktu ini, burung muda dengan cepat diajari bagaimana cara berburu melalui ekspedisi oleh orang tua mereka dan dianggap independen segera setelahnya.
Pasangan burung katib sering setia sama-sama meskipun anak-anak bersama sudah lama meninggalkan sarang.
Hubungan dengan manusia
Burung ini secara tradisinya dikagumi hebatannya dalam kalangan masyarakat setempat Afrika kerana penampilan dan pemangsaannya. Orang Xhosa yang menduduki selatan benua tersebut mengaitkan burung ini (inxhanxhosi) dengan kecerdasan yang tinggi. Orang Maasai menggunakan bahagian burung dalam perubatan tradisional mereka di mana asap bakaran bulunya dibubuh merawat epilepsi, telurnya dimakan bersama teh untuk merawat sakit kepala, dan lemaknya boleh direbus dan diminum untuk tumbesaran kanak-kanak atau kesihatan ternakan.
Negara Afrika Selatan yang mempunyai populasi utama bangsa ini menerapkan ia dalam jata negara baharu mereka pada tahun 2000 melambangkan pelindung negara dari serangan musuh serta terbentang sayapnya melambangkan pertumbuhan. Burung katib juga diterapkan pada lambang negara serta panji dan mohor Presiden negara Sudan sejak tahun 1969.