Tosai, tosei atau tose (Tamil: தோசை, rumi: dōsai, Bahasa Malayalam: ദോശ dōśa, Bahasa Kannada: ದೋಸೆ dōse) ialah sejenis makanan seakan lempeng atau serabai masam ranggup dari India Selatan yang dibuat dengan menggunakan adunan menapai campuran beras dan kacang dal hitam kisar. Tosai merupakan makanan ruji dan hidangan tradisi tempatan di beberapa negeri kawasan India, ia juga tersebar ke negara-negara lain yang mempunyai diaspora Tamil seperti Malaysia, Sri Lanka, Singapura, dan Myanmar.
Lazimnya, tosai hidangan sarapan bersama aneka jenis kuah contohnya kari dal, ayam atau ikan, serta cutni iaitu sejenis kuah pekat campuran kelapa berempah cili.
Sejarah
Penyediaan dan pemakanan
Tose pada asalnya disediakan dengan mengisar beras yang direndam semalaman atau nasi lama ( diamasak 2 atau 3 hari sebelumnya) serta kacang dal hitam sehingga menjadi adunan yang sederhana pekat. Setelah itu, adunan dileperkan di atas kuali leper yang panas sehingga menjadi kuning keemasan dan terus dihidangkan. Asal usul tose sering dikaitkan sebagai sebuah resipi yang digubah untuk menggunakan nasi yang lama untuk menjadi sebuah hidangan baru supaya nasi tersebut tidak terbazir.
Variasi
Tosai juga boleh disediakan dengan ramuan yang berbeza seperti tepung suji dan tepung gandum dan dicampurkan dengan pelbagai jenis rempah-ratus yang berbeza mengikut citarasa masing-masing. Resipi hidangan ini boleh digubah mengikut kreativiti dan citarasa tersendiri. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis tose yang barangkalinya turut ditambah inti yang unik seperti bawang, minyak sapi, masala, telur dan marjerin, dibentuk beraneka rupa seperti yang ada pada jenis "tose kertas" (paper thosai) dan sebagainya.
Hidangan ini mempunyai keunikannya tersendiri dari segi penyediaannya serta rasa dan teksturnya sendiri. Penyediaan tose hanya memerlukan adunan beras dan kacang dal hitam tersebut serta sedikit minyak. Ia amat mudah untuk disediakan dan dapat dinikmati oleh seiisi keluarga sebagai makanan ruji ataupun sekadar makanan sampingan. Oleh kerana teksturnya yang agak ranggup dan ringan serta senang dikunyah dan dihadam; hidangan ini menjadi kegemaran ramai tanpa mengira golongan umur.
Nilai nutrisi
Tose kaya dengan kabohidrat dan protein serta mempunyai kandungan gula,garam dan minyak yang amat rendah.
