factograf
MS
Sign in

permainan video arena pertarungan dalam talian berbilang pemain 2009

League of Legends

League of Legends

Key facts

tarikh penerbitan27 Oktober 2009
contohhibira
anugerah yang diterimaAnugerah Permainan Akademi British untuk Permainan Berterusan
genrearena pertarungan dalam talian berbilang pemain
All data from the card 7
Pembangun
Riot Games
Penerbit
Riot Games Tencent THQ Garena
Pelantar
macOS, Windows, Android, iOS, TGP Box
Genre
Arena pertarungan dalam talian berbilang pemain
Mod
Hibira multipemain, mod kerjasama, PvP
Tapak sesawang
leagueoflegends.com
Tanda pagar
league

League of Legends (LoL), yang juga boleh dirujuk sebagai League sahaja ialah permainan video arena pertempuran dalam talian berbilang pemain yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Riot Games. Diilhamkan oleh Defense of the Ancients, peta tersuai untuk Warcraft III, pengasas Riot berusaha untuk membangunkan permainan yang berdiri sendiri dengan genre yang sama. Sejak dikeluarkan pada Oktober 2009, LOL telah dimainkan secara percuma dan hasilnya dijanakan melalui penyesuaian watak yang boleh dibeli. Permainan ini tersedia untuk pelantar Windows dan macOS.

Dalam mod utama permainan, Summoner's Rift, dua pasukan yang terdiri daripada lima pemain bertarung dalam pertempuran pemain lawan pemain. Setiap pemain akan mengawal watak yang dikenali sebagai "juara", yang mempunyai kebolehan dan gaya permainan yang unik. Semasa perlawanan, juara menjadi lebih kuat dengan mengumpul mata pengalaman, memperoleh emas dan membeli item untuk mengalahkan pasukan lawan. Setiap pasukan akan mempertahankan pangkalan mereka dan menang dengan menuju ke arah pangkalan musuh dan memusnahkan struktur besar di dalamnya yang dipanggil "Nexus".

League of Legends telah menerima ulasan yang menggalakkan secara umumnya, menonjolkan kebolehcapaian, reka bentuk watak dan nilai penerbitannya. Jangka hayat permainan yang panjang telah menghasilkan penilaian semula yang kritikal, dengan ulasan menunjukkan trend yang menggalakkan; ia secara meluas dianggap sebagai salah satu permainan video terhebat yang pernah dihasilkan. Tetapi kelakuan pemain dalam permainan yang biadab dan kesat, yang dikritik sejak awal permainan masih berterusan walaupun Riot telah berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pada tahun 2019, LOL kerap mencapai kemuncak dengan lapan juta pemain serentak dan kepopularannya telah membawa kepada keluaran seperti muzik, buku komik, cerita pendek dan siri animasi Arcane. Kejayaannya telah melahirkan beberapa permainan video sampingan termasuklah versi mudah alih, permainan kad koleksi digital dan permainan main peranan berasaskan giliran. Permainan main peranan dalam talian berbilang pemain besar-besaran berdasarkan harta milik tersebut sedang dalam pembangunan.

League of Legends ialah e-sukan terbesar di dunia, dengan persaingan antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai liga serantau yang berakhir dengan Kejohanan Dunia League of Legends tahunan. Acara pada tahun 2019 mencatatkan lebih 100 juta penonton unik, mencapai kemuncak jumlah penonton serentak seramai 44 juta semasa peringkat akhir. Acara domestik dan antarabangsa telah disiarkan di tapak-tapak web penstriman langsung seperti Twitch, YouTube, Bilibili dan saluran sukan televisyen kabel ESPN.

Tatamain

The game's main map. It is a square, with the team bases on the top right and bottom right corners. There are three pathways to each base: one diagonally across the center, and the others going up and turning at the top left and bottom right corners.
Gambaran ringkas Summoner's Rift. Laluan kuning ialah "lorong" tempat di mana suruhan berarak; titik biru dan merah mewakili menara. Air pancut ialah kawasan gelap di dalam setiap pangkalan, dan berada di sebelah setiap Nexus. Garis putus-putus berwarna hitam…

League of Legends ialah permainan arena pertempuran dalam talian berbilang pemain (MOBA) di mana pemain mengawal watak ("juara") dengan satu set kebolehan unik daripada perspektif isometri. Semasa perlawanan, juara memperoleh tahap dengan mengumpulkan mata pengalaman (XP) melalui pembunuhan musuh. Item boleh diperoleh untuk meningkatkan kekuatan juara dan ia dibeli dengan menggunakan emas. Pemain mengumpulkan emas secara pasif dari semasa ke semasa dan peroleh secara aktif dengan mengalahkan suruhan pasukan lawan, juara, atau struktur pertahanan. Dalam mod permainan utama, Summoner's Rift, item dibeli melalui menu kedai yang tersedia untuk pemain hanya apabila juara mereka berada di pangkalan pasukan. Setiap perlawanan adalah berasingan; tahap dan item tidak dipindahkan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

Summoner's Rift

Summoner's Rift merupakan mod permainan mercu League of Legends dan yang paling menonjol dalam permainan peringkat profesional. Mod ini mempunyai tangga kompetitif berpangkat; sistem pemadanan pemain menentukan tahap kemahiran pemain dan menjana pangkat permulaan yang boleh mereka daki. Terdapat sepuluh peringkat; yang paling kurang mahir ialah Besi, Gangsa dan Perak manakala yang tertinggi ialah Pakar, Jaguh dan Pencabar.

Dua pasukan yang terdiri daripada lima pemain bersaing untuk memusnahkan "Nexus" pasukan lawan, yang dikawal oleh juara-juara musuh dan struktur pertahanan yang dikenali sebagai "menara". Nexus setiap pasukan berada di pangkalannya, tempat pemain memulakan permainan dan hidup semula selepas kematian. Watak bukan pemain yang dikenali sebagai suruhan (minion) dijana daripada Nexus setiap pasukan dan mara ke arah pangkalan musuh di sepanjang tiga lorong yang dikawal oleh menara: atas, tengah, dan bawah. Pangkalan setiap pasukan mengandungi tiga "perencat", satu di belakang menara ketiga dari tengah setiap lorong. Memusnahkan perencat pasukan musuh menyebabkan suruhan sekutu yang lebih kuat menjelma di lorong itu dan membolehkan pasukan penyerang merosakkan Nexus musuh dan dua menara yang mengawalnya. Kawasan di antara lorong dikenali sebagai "hutan" yang didiami oleh "raksasa" dan mereka muncul semula pada selang masa yang tetap. Seperti suruhan, raksasa memberikan emas dan XP apabila dibunuh. Satu lagi kelas raksasa yang lebih berkuasa berada di tepi sungai yang memisahkan hutan setiap pasukan. Raksasa-raksasa ini memerlukan berbilang pemain untuk dikalahkan dan memberikan kebolehan khas kepada pasukan yang membunuh mereka. Contohnya, pasukan boleh mendapatkan unit sekutu yang kuat selepas membunuh Rift Herald, peningkatan kekuatan kekal dengan membunuh naga dan suruhan yang lebih kuat dan tahan lama dengan membunuh Baron Nashor.

Perlawanan Summoner's Rift boleh berlangsung dari 15 minit hingga lebih sejam. Permainan ini tidak menentukan ke mana pemain boleh pergi, tetapi berdasarkan kebiasaan yang timbul, seorang pemain pergi ke lorong atas, seorang di lorong tengah, seorang di hutan, dan dua di lorong bawah. Pemain di lorong membunuh suruhan untuk mengumpul emas dan XP (dipanggil "mengumpul") dan cuba menghalang lawan mereka daripada melakukan perkara yang sama. Juara kelima, yang dikenali sebagai "pengumpul hutan", membunuh raksasa hutan dan apabila cukup kuat, membantu rakan sepasukan mereka di lorong.

Mod lain

Selain Summoner's Rift, League of Legends mempunyai dua mod permainan tetap yang lain. ARAM ("Semua Rawak, Semua Tengah") ialah mod lima lawan lima seperti Summoner's Rift, tetapi pada peta yang dipanggil Howling Abyss, hanya mempunyai satu lorong panjang, tiada kawasan hutan, dan juara dipilih secara rawak untuk pemain. Memandangkan saiz peta yang kecil, pemain mesti berwaspada dalam mengelakkan kebolehan musuh.

Teamfight Tactics ialah permainan pertempuran automatik yang dikeluarkan pada Jun 2019 dan dijadikan mod permainan kekal pada bulan berikutnya. Seperti permainan lain dalam genrenya, pemain membina pasukan dan bertarung untuk menjadi yang terakhir bertahan. Pemain tidak memberi kesan langsung kepada pertempuran tetapi meletakkan unit mereka di atas papan untuk mereka bertarung secara automatik menentang lawan setiap pusingan. Teamfight Tactics tersedia untuk pelantar iOS dan Android dan mempunyai permainan rentas pelantar dengan klien Windows dan macOS.

Mod permainan lain telah tersedia buat sementara waktu, biasanya selaras dengan acara-acara dalam permainan. Mod Ultra Rapid Fire (URF) tersedia selama dua minggu sebagai gurauan hari April Fools 2014. Dalam mod ini, kebolehan juara tidak mempunyai kos sumber, pemasa penyejukan yang dikurangkan dengan ketara, kelajuan pergerakan yang meningkat, penyembuhan yang dikurangkan dan serangan yang lebih pantas. Pada April 2015, Riot mendedahkan bahawa ia tidak mengembalikan mod tersebut kerana reka bentuknya yang tidak seimbang mengakibatkan pemain "keletihan". Riot juga mengatakan kos yang berkaitan dengan penyelenggaraan dan pengimbangan URF terlalu tinggi. Mod sementara lain termasuk One for All dan Nexus Blitz. One for All membolehkan pemain memilih juara untuk dimainkan oleh semua ahli pasukan mereka. Dalam Nexus Blitz, pemain menyertai satu siri permainan mini pada peta termampat.

Read next

In 62 languages

Text from Wikipedia, CC BY-SA 4.0 · Source article