factograf
MS

Maharaja Đại Việt (1442-1497)

Lê Thánh Tông

Lê Thánh Tông

Key facts

tarikh lahirJulai 1442
tarikh kematian1497
pekerjaanpemuisi
tempat lahirHanoi
jawatan yang dipegangKaiser
All data from the card 10
Pemerintahan
13 Jun 1460 – 13 Mac 1497 (36 tahun, 250 hari)
Didahului oleh
Lê Nghi Dân
Diikuti oleh
Lê Hiến Tông
Keputeraan
Lê Tư Thành (黎思誠)25 Ogos 1442
Kemangkatan
3 Mac 1497 (umur 54)
Pemakaman
Makam Chiêu, Lam Kinh, Đại Việt
Pasangan
Nguyễn Thị Huyên
Wangsa
Dinasti Lê Akhir
Ayahanda
Lê Thái Tông
Bonda
Ngô Thị Ngọc Dao

Lê Thánh Tông (黎聖宗; 25 Ogos 1442 – 3 Mac 1497), nama peribadi Lê Hạo, nama tokong Thánh Tông, nama kesopanan Tư Thành, ialah seorang Maharaja Đại Việt yang memerintah dari tahun 1460 hingga 1497. Baginda merupakan maharaja kelima dan yang paling lama memerintah dalam Dinasti Lê Akhir, serta dipuji secara meluas sebagai salah seorang maharaja terhebat dalam sejarah Vietnam. Baginda naik takhta melalui satu rampasan kuasa terhadap abang keduanya, Lê Nghi Dân pada tahun 1460.

Zaman pemerintahannya terkenal kerana pembaharuan besar-besaran dalam pentadbiran, ketenteraan, pendidikan dan kewangan yang dilaksanakannya. Baginda juga menakluki negeri-negeri Campa dan meluaskan wilayah Đại Việt ke arah selatan. Di samping itu, baginda memulakan satu "revolusi budaya" yang menggantikan golongan bangsawan lama dengan generasi sarjana cendekiawan. Pemerintahannya kemudian dikenang sebagai Zaman Keemasan Hồng Đức (Hồng Đức Thịnh Trị), iaitu era kemakmuran dan kegemilangan Đại Việt.

Nama

Lê Thánh Tông dikenali dengan beberapa nama, termasuk nama lahirnya Lê Hạo (黎灝), nama hormat Tư Thành (思誠), nama pena atau gelaran sastera Đạo Am chủ nhân (道庵主人), nama berirama Tao Đàn nguyên súy (騷壇元帥), serta gelaran rasmi Thiên Nam động chủ (天南洞主).

Kehidupan awal

Lê Tư Thành diputerakan pada 25 Ogos 1442 sebagai putera keempat Maharaja Lê Thái Tông bersama permaisurinya, Ngô Thị Ngọc Dao. Menurut legenda, ibunya mengandung Tư Thành selepas menerima khabar daripada Tiên đồng dalam mimpinya. Baginda juga merupakan cucu keempat Lê Lợi dan adik tiri kepada Lê Nhân Tông. Sejak kecil, Tư Thành digambarkan dalam Salasilah Lengkap Viet Raya sebagai seorang yang berbakat luar biasa, bijak, berani, baik hati dan layak menjadi maharaja pada masa depan.

Pada usia tiga tahun, baginda dibawa ke istana untuk dididik seperti abang tirinya, Lê Nhân Tông, serta saudara-saudaranya Lê Khắc Xương dan Lê Nghi Dân di Đông Kinh. Pada tahun 1445, Lê Nhân Tông melantik Tư Thành sebagai Putera Bình Nguyên dan menghantarnya ke Kinh Điện untuk belajar bersama putera-putera lain. Pegawai istana seperti Tran Phong, menganggap Tư Thành memiliki kelebihan tersendiri kerana penampilan yang wibawa dan kecerdasan yang menonjol, menandakan baginda seorang yang luar biasa dan berpotensi menjadi pemimpin besar.

Menaiki takhta

Pada hari ke-3 bulan ke-10 tahun 1459 (tahun ke-6 Diên Ninh), putera sulung Lê Thái Tông, Lê Nghi Dân melakukan rampasan kuasa pada waktu malam dan membunuh maharaja yang memerintah, Lê Nhân Tông. Lê Nghi Dân kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja.

Menjelang sembilan bulan kemudian, satu rampasan kuasa balas yang diketuai oleh dua ketua tentera, Nguyễn Xí dan Đinh Liệt, berjaya menumpaskan dan membunuh Lê Nghi Dân di istana. Para perancang rampasan kuasa itu meminta Putera Tư Thành untuk menjadi maharaja baharu, dan baginda menerima. Dua hari selepas kematian Lê Nghi Dân, Lê Hạo ditabalkan sebagai maharaja baharu.

Nguyễn Xí dan Đinh Liệt, pemimpin rampasan kuasa balas itu, adalah antara sahabat dan pembantu terakhir Lê Lợi yang masih hidup. Walaupun sudah lama tidak memegang kuasa sejak 1440-an, mereka tetap dihormati kerana hubungan rapat dengan pengasas dinasti, Lê Lợi. Maharaja baharu melantik mereka ke jawatan tertinggi dalam kerajaan: Nguyễn Xí menjadi penasihat raja, manakala Đinh Liệt diberikan komando ke atas tentera diraja Đại Việt.

Pemerintahan

Pinggan seramik Chu Đậu yang dihasilkan semasa zaman pemerintahan Lê Thánh Tông kini disimpan di Muzium Guimet, Paris.
Pinggan seramik Chu Đậu yang dihasilkan semasa zaman pemerintahan Lê Thánh Tông kini disimpan di Muzium Guimet, Paris.
Tugu batu yang memperingati para graduan kedoktoran ini terletak di dalam kompleks Tokong Kesusasteraan, Universiti Kebangsaan di Hanoi. Tradisi mendirikan tugu-tugu ini bermula sejak zaman pemerintahan Maharaja Lê Thánh Tông, dan telah meninggalkan warisan…
Tugu batu yang memperingati para graduan kedoktoran ini terletak di dalam kompleks Tokong Kesusasteraan, Universiti Kebangsaan di Hanoi. Tradisi mendirikan tugu-tugu ini bermula sejak zaman pemerintahan Maharaja Lê Thánh Tông, dan telah meninggalkan warisan…
Wilayah Vietnam dan kawasan pengaruhnya, termasuk negeri naungan semasa awal Dinasti Lê (1428–1527), yang terbentuk terutama sepanjang pemerintahan raja-raja daripada Lê Thái Tổ hingga Lê Thánh Tông.
Wilayah Vietnam dan kawasan pengaruhnya, termasuk negeri naungan semasa awal Dinasti Lê (1428–1527), yang terbentuk terutama sepanjang pemerintahan raja-raja daripada Lê Thái Tổ hingga Lê Thánh Tông.
Peta menunjukkan perkembangan peluasan wilayah Vietnam ke selatan.
Peta menunjukkan perkembangan peluasan wilayah Vietnam ke selatan.
Halaman pertama "Titah Diraja tentang Galakan Ilmu Pengetahuan" oleh Maharaja Lê Thánh Tông.
Halaman pertama "Titah Diraja tentang Galakan Ilmu Pengetahuan" oleh Maharaja Lê Thánh Tông.
5 images

Pembaharuan birokrasi

Lê Thánh Tông memperkenalkan pelbagai pembaharuan untuk menggantikan oligarki Thanh Hoá di selatan Đại Việt dengan pegawai kerajaan yang dipilih melalui peperiksaan perkhidmatan awam berasaskan Konfusianisme. Mengikut model Cina, baginda membahagikan kerajaan kepada enam kementerian iaitu: Kewangan, Upacara, Kehakiman, Personel, Tentera, dan Kerja Awam. Sistem pangkat diperkenalkan dengan sembilan darjat untuk pentadbiran awam dan tentera, manakala Lembaga Penyelia ditubuhkan bagi memantau pegawai kerajaan dan melapor terus kepada raja. Bagaimanapun, kuasa kerajaan tidak meliputi tahap kampung, kerana kampung dikawal oleh majlis mereka sendiri.

Pada 1469, seluruh Đại Việt dipetakan dan bancian penuh dibuat, membahagikan negara kepada 13 dao (wilayah), setiap satunya diperintah oleh seorang gabenor, hakim, dan panglima tentera tempatan. Sensus baru diperintahkan diadakan setiap enam tahun. Pelbagai projek awam dilaksanakan, termasuk membina dan membaik pulih jelapang padi, menggunakan tentera untuk memperbaiki sistem pengairan selepas banjir, dan menghantar doktor ke kawasan yang dilanda penyakit. Walaupun baru berusia 25 tahun, Thánh Tông berjaya menstabilkan negara, berbeza dengan zaman bergolak pemerintahan dua maharaja sebelumnya. Menjelang 1471, kerajaan menggaji lebih 5,300 pegawai (0.1% populasi) sebagai birokrat, dibahagi sama rata antara istana dan wilayah, dengan sekurang-kurangnya seorang pegawai penyelia bagi setiap tiga kampung.

Bancian negara pada 1490 melaporkan kira-kira 8,000 kawasan perkampungan di seluruh negara, termasuk 36 kawasan bandar di antara istana dan Sungai Merah di Đông Kinh, satu-satunya bandar dalam negara. Populasi ketika itu dianggarkan sekitar 3.7 juta orang, dengan lembah Sungai Merah menjadi kawasan paling padat penduduk di Asia Tenggara pada zaman moden awal.

Kerajaan baharu ini terbukti efektif dan merupakan penyesuaian berjaya sistem Konfusianisme Cina di luar China. Namun demikian, selepas kemangkatan Thánh Tông dan puteranya, Lê Hiến Tông, model ini gagal dan jatuh sebanyak dua kali dalam tiga abad berikutnya.

Reformasi perundangan

Pada tahun 1483, Lê Thánh Tông memperkenalkan satu undang-undang baharu untuk Đại Việt yang dikenali sebagai Kod Hồng Đức, kini dianggap sebagai Khazanah Negara Vietnam dan disimpan di Perpustakaan Negara dalam bentuk papan kayu No A.314. Kod ini berpandukan undang-undang Cina tetapi mengekalkan ciri khas Vietnam, seperti pengiktirafan kedudukan wanita yang lebih tinggi berbanding di China. Di bawah kod ini, persetujuan ibu bapa tidak diperlukan untuk perkahwinan, dan anak perempuan diberikan hak warisan sama dengan anak lelaki.

Dasar ekonomi

Dalam bidang ekonomi, semasa pemerintahannya, seramik Vietnam dari Hải Dương dieksport sejauh ke Asia Barat, termasuk ke Trowulan, ibu kota Majapahit. Namun demikian, Thánh Tông menekankan ekonomi negara yang mandiri berasaskan pertanian dan mengambil sikap berhati-hati terhadap perdagangan antarabangsa. Pada 1461, baginda menasihati pegawai wilayah agar tidak terlalu mementingkan perdagangan kecil dan melarang orang asing memasuki negara. Baginda juga memperkenalkan kod pasar untuk menyelaraskan ukuran dan timbangan, dan pada 1469 memiliknegarakan mesiu dan senjata.

Selepas menakluk Campa pada 1471, baginda menghantar ramai orang Vietnam, termasuk banduan dan penjenayah, untuk menetap di wilayah baru ditakluk. Tanah dibahagi secara adil, dan birokrat serta garison tentera ditempatkan untuk membantu penduduk. Kejatuhan Campa membolehkan Vietnam menguasai produk dari Dataran Tinggi Tengah, yang sangat dikehendaki pasaran luar negara. Menjelang akhir abad ke-15, Vietnam mencapai tahap kemakmuran dan peradaban yang paling tinggi.

Dasar pendidikan

Lê Thánh Tông banyak menumpukan perhatian kepada kemajuan ilmu pengetahuan. Baginda memperluas universiti kebangsaan, memperbaiki sistem peperiksaan, menggalakkan kesusasteraan, menaja penerbitan karya matematik dan saintifik, serta mengeluarkan peta lengkap pertama Vietnam. Baginda juga menyebarkan nilai-nilai Konfusianisme dengan membina tokong kesusasteraan di setiap wilayah, di mana Confucius dihormati dan karya klasik Konfusianisme boleh dipelajari. Sebaliknya, baginda menghentikan pembinaan tokong Buddha dan Taoisme baharu, serta melarang sami membeli tanah baharu.

Pada zaman pemerintahannya, pengajian Konfusianisme Vietnam mencapai era kegemilangan, dengan lebih 501 tiến sĩ (sarjana diraja) tamat pengajian daripada jumlah 2,896 tiến sĩ yang dihasilkan antara 1076 hingga 1911. Pada 1460, baginda mengarahkan sarjana Konfusianisme, Ngô Sĩ Liên untuk menyusun buku sejarah rasmi negara, dan pada 1479 epik Đại Việt iaitu sử ký toàn thư disiapkan dan diserahkan kepada maharaja.

Hubungan asing

Ming China

Semasa pemerintahan Lê Thánh Tông, hubungan Vietnam dengan Dinasti Ming diuji melalui dua peristiwa utama: penaklukan Campa pada 1471 dan serangan ke atas Laos antara 1479–1481. Selepas menakluk Campa, Vietnam memberitahu pihak Ming bahawa kejatuhan dinasti Campa berlaku akibat "perang saudara." Pada 1472, apabila lanun Vietnam menyerang kapal-kapal Cina di Hainan dan pantai Guangzhou, Maharaja Ming meminta Thánh Tông menghentikan aktiviti tersebut, tetapi kerajaan Đại Việt menafikan penglibatan rakyatnya.

Lê Thánh Tông melaksanakan dasar tutup pintu yang ketat terhadap hubungan luar. Baginda menentang perdagangan antarabangsa yang tidak terkawal dan menekankan ekonomi mandiri berasaskan pertanian. Pada masa yang sama, perdagangan tetap berlaku, terutama dengan Guangdong dan Hainan. Ramai pelaut dan pedagang Cina yang "terhanyut" ke perairan Vietnam ditangkap. Lelaki muda antara mereka dipilih untuk dikembiri dan dijadikan hamba sida di istana Vietnam.

Salah satu kes terkenal ialah Wu Rui, seorang pemuda dari Wenchang. Kapal Wu Rui tersasar ke pantai Vietnam pada 1460-an semasa pemerintahan Maharaja Chenghua. Wu Rui dipilih sebagai hamba sida di istana Thang Long dan berkhidmat hampir 25 tahun. Selepas kemangkatan Maharaja Vietnam pada 1497, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan ketenteraan di utara Vietnam. Walau bagaimanapun, beliau berjaya melarikan diri ke China selepas melalui jalan rahsia, dan akhirnya dihantar ke Beijing untuk berkhidmat sebagai sida di istana Ming.

Selain Wu Rui, lebih 100 lelaki China dipercayai dikembiri dan dijadikan hamba sida semasa kapal mereka "terhanyut" ke Vietnam, menurut laporan. Sejarawan moden berpendapat ramai daripada mereka sebenarnya terlibat dalam perdagangan haram antara China dan Vietnam, dan hukuman kembiri adalah sebahagian daripada tindakan kerajaan Vietnam mengekang perdagangan luar. Peristiwa ini menandakan hubungan China–Vietnam pada masa itu dipenuhi dengan ketegangan dan hukuman yang keras terhadap rakyat Cina yang dianggap melanggar undang-undang Vietnam.

Selain itu, pada 1469, beberapa utusan Melayu dari Kesultanan Melaka ditangkap oleh tentera laut Vietnam dalam perjalanan pulang dari China, dan lelaki muda antara mereka turut dikembiri dan dijadikan hamba sida. Kesemua peristiwa ini menunjukkan pendekatan tegas Thánh Tông terhadap hubungan luar dan perdagangan antarabangsa.

Campa

Pada tahun 1470, tentera Campa seramai kira-kira 100,000 orang di bawah Raja Maha Sajan mengepung kubu Vietnam di Huế. Vietnam meminta bantuan dari pusat pemerintahan, dan akhirnya Campa ditewaskan. Kekalahan ini menamatkan persaingan kuasa antara Campa dan Vietnam yang telah berlangsung lebih 500 tahun. Sejak itu, Campa tidak lagi menjadi ancaman besar kepada Đại Việt.

Laos

Selepas itu, Lê Thánh Tông mengukuhkan pengaruh Vietnam di kawasan Laos. Wilayah Muang Phuan (kini Dataran Guci di timur laut Laos) dijadikan wilayah rasmi Đại Việt pada 1471. Pada akhir 1470-an, baginda melancarkan kempen besar ke atas kerajaan Lan Xang (Laos) kerana ingin membalas tindakan Raja Chakkaphat serta menegaskan kembali pengaruh Vietnam ke atas suku-suku Tai.

Pada tahun 1479, Thánh Tông mengetuai sendiri tentera seramai 180,000 orang menyerang Laos. Ibu kota Luang Prabang ditawan dan Raja Chakkaphat terkorban. Tentera Vietnam mara jauh hingga ke kawasan Myanmar hari ini. Bagaimanapun, apabila berdepan pakatan Lan Xang dan Lan Na, tentera Đại Việt mengalami kekalahan dan terpaksa berundur sepenuhnya pada 1484.

Pencerobohan ini menyebabkan hubungan Đại Việt dengan negara jiran dan juga Dinasti Ming menjadi tegang. Pada 1488–1489, Ming menghantar utusan supaya Vietnam menghentikan kempen ketenteraannya.

Kuasa serantau lain

Menurut Ming Shilu, Lê Thánh Tông pernah mengetuai sekitar 90,000 tentera menyerang Lan Xang, namun mereka dikejar oleh tentera Kesultanan Melaka yang dikatakan membunuh kira-kira 30,000 askar Vietnam. Pada tahun 1485, utusan dari Campa, Lan Xang, Melaka, Ayutthaya dan Jawa tiba di Đại Việt, menunjukkan hubungan diplomatik serantau yang luas.

Dalam bidang keselamatan maritim, Thánh Tông menghantar ekspedisi membanteras lanun di Teluk Tonkin pada 1470 dan berjaya mengamankan laluan laut. Bagaimanapun, pelabuhan Quy Nhơn masih diserang oleh lanun dari Kepulauan Ryukyu dan Campa pada 1475, dan pada 1480 berlaku pertempuran di pesisir Vietnam dengan kapal Ryukyu yang karam.

Pada 1485, Thánh Tông menyenaraikan Melaka, Jawa, Siam, Laos dan Campa sebagai negeri naungan dalam peraturan misi ufti ke ibu kota. Di kawasan sempadan dan pergunungan, baginda menggunakan sistem Tusi untuk mentadbir etnik minoriti.

Penyair

Sekumpulan 28 orang penyair telah diiktiraf secara rasmi oleh istana, dikenali sebagai Tao Đàn. Lê Thánh Tông sendiri ialah seorang penyair, dan beberapa puisinya masih kekal hingga hari ini.

Ketika memulakan kempen menentang Champa, baginda menulis bait berikut:

Seratus ribu pegawai dan tentera,
Berangkat menempuh perjalanan jauh.
Hujan menimpa layar kapal,

Melembutkan bunyi derap bala tentera.

Kerabat

Ayahanda
  • Lê Thái Tông
Bonda
  • Permaisuri Quang Thục Ngô Thị Ngọc Dao (光淑文皇后吳氏; 1421 – 1496)
Permaisuri/Gundik dan putera-puteri
  • Permaisuri Huy Gia (Permaisuri Trường Lạc) Nguyễn Thị Hằng dari keluarga Nguyễn (徽嘉皇后阮氏; 1441 – 1505)
    • Putera Mahkota Lê Tranh, kemudian menjadi Maharaja Lê Hiến Tông
  • Permaisuri Nhu Huy dari keluarga Phùng (柔徽皇后馮氏; 1444 – 1489)
    • Putera Lê Tân → bapa kepada Maharaja Lê Tương Dực
  • Gundik Diraja Minh dari keluarga Phạm (明妃范氏; 1448 – 1498)
    • Putera Lê Tùng
    • Puteri Ý Đức Lê Oánh Ngọc
    • Puteri Lan Minh Lê Lan Khuê (1470 – tidak diketahui tahun wafat)
  • Gundik Diraja Kính dari keluarga Nguyễn (敬妃阮氏; 1444 – 1485)
    • Puteri Minh Kính Lê Thụy Hoa
  • Gundik Nguyễn Thị (貴妃阮氏)
    • Putera Lê Thoan
  • Dayang/Pendamping Nguyễn (修容阮氏)
  • Dayang/Pendamping Nguyễn (才人阮氏; 1444 – 1479)

Lê Thánh Tông juga dipercayai mempunyai wanita Champa sebagai gundik, penari dan penyanyi di istana baginda.

Pautan luar

Kategori berkaitan Lê Thánh Tông di Wikimedia Commons

Didahului oleh
Lê Nghi DânMaharaja Đại Việt
(memerintah dari 1460 hingga 1497)

1442–1497Diikuti oleh:
Lê Hiến Tông

Read next

In 19 languages

Text from Wikipedia, CC BY-SA 4.0 · Source article