Janet Louise Yellen (lahir 13 Ogos 1946) ialah seorang ahli ekonomi dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden dari tahun 2021 hingga 2025. Beliau juga merupakan anggota terkemuka di Brookings Institution dan profesor emeritus di Sekolah Perniagaan Haas di Universiti California, Berkeley. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi Rizab Persekutuan ke-15 dari tahun 2014 hingga tahun 2018 yang merupakan wanita pertama memegang peranan itu. Beliau merupakan Naib Pengerusi dari tahun 2010 hingga tahun 2014.
Yellen ialah ahli Lembaga Gabenor Rizab Persekutuan dari tahun 1994 hingga tahun 1997 dan sekali lagi pada tahun 2010 hingga tahun 2018. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Rumah Putih di bawah pentadbiran Presiden Bill Clinton dari tahun 1997 hingga tahun 1999. Beliau juga merupakan Presiden Rizab Persekutuan Bank San Francisco dari tahun 2004 hingga tahun 2010. Pada tahun 2014, presiden Barack Obama telah mencalonkan Yellen untuk menggantikan Ben Bernanke sebagai pengerusi Rizab Persekutuan. Beliau hanya berkhidmat satu penggal dari tahun 2014 hingga tahun 2018 kerana tidak dilantik semula oleh Presiden Donald Trump.
Selain sumbangan berterusan beliau terhadap bidang ekonomi, Yellen juga terkenal kerana memecahkan banyak penghalang jantina sebagai seorang wanita di dalam bidang.
Yellen menamatkan kepimpinan beliau sebagai setiausaha pada 20 Januari 2025.
Kehidupan awal
Yellen dilahirkan dalam sebuah keluarga berketurunan Yahudi Poland di kejiranan Bay Ridge di kawasan Brooklyn, Bandar Raya New York. Beliau juga dibesarkan di bandar itu. Ibunya Anna Ruth (née Blumenthal; 1907–1986) merupakan seorang guru sekolah rendah dan ayahnya Julius Yellen (1906–1975) merupakan seorang doktor keluarga yang bekerja di tingkat bawah rumah mereka. Ibunya berhenti bekerja untuk menjaga Janet dan abang sulungnya, John.
Pendidikan
Yellen memperoleh ijazah dalam bidang ekonomi dari Kolej Pembroke di Universiti Brown pada tahun 1967. Di Universiti Brown, beliau menukar jurusannya dari falsafah ke ekonomi dan beliau sangat dipengaruhi oleh profesor George Borts dan Herschel Grossman. Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang ekonomi di Universiti Yale pada tahun 1971. Disertasi beliau yang bertajuk "Pekerjaan, Hasil dan Pengumpulan Modal dalam Ekonomi Terbuka: Ketidaksamaan Pendekatan" di bawah pemerhatian pemenang Hadiah Nobel iaitu James Tobin dan Joseph Stiglitz. Mereka berdua telah menganggap Yellen sebagai seorang pelajar yang paling cerdas dan diingati. Dua dozen ahli ekonomi memperoleh ijazah Doktor Falsafah di Universiti Yale pada tahun 1971 termasuk Uri Possen dan Gary Smith. Yellen ialah satu-satunya pelajar wanita di kelas doktoral itu.
Pencalonan sebagai Setiausaha Perbendaharaan
Pada bulan November 2020, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan bahawa beliau akan mencalonkan Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan dalam kabinetnya. Beliau akan menjadi wanita pertama yang memegang jawatan ini jika pencalonnya disahkan Senat Amerika Syarikat. Pencalonan beliau disahkan oleh Senat pada 22 Januari 2021.
Perkhidmatan dan tugas luar
- Presiden, Persatuan Ekonomi Amerika, 2020
- Naib Presiden, Persatuan Ekonomi Amerika, 2004
- Presiden, Persatuan Ekonomi Barat, 2004
- Anggota, Akademi Seni dan Sains Amerika, 2001
- Naib Presiden, Persatuan Ekonomi Barat, 2001
- Pengerusi: Jawatankuasa Dasar Ekonomi Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi 1997–1999
- Pemegang Amanah Ahli Ekonomi untuk Keamanan dan Keselamatan
- Ahli Lembaga Pengarah bagi Belanjawan Persekutuan yang Bertanggungjawab
Kehidupan peribadi
Yellen berkahwin dengan George Akerlof, ahli ekonomi, pemenang Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi, profesor di Universiti Georgetown dan profesor emeritus di Universiti California, Berkeley. Yellen dan Akerlof telah bertemu di Fed pada musim luruh tahun 1977. Mereka berkahwin pada bulan Jun 1978. Pada bulan Jun 1981, anak lelaki mereka Robert Akerlof dilahirkan. Robert kini mengajar bidang ekonomi di Universiti Warwick.
Yellen dan Akerlof telah berkolaborasi dalam penyelidikan termasuk topik seperti kemiskinan, pengangguran dan mengenai kos melahirkan anak luar nikah. Kedua-dua mereka sering menyatakan bahawa satu-satunya perselisihan mereka adalah bahawa Yellen lebih kepada menyokong perdagangan bebas berbanding suaminya.
Pautan luar
- Janet L. Yellen di Sistem Rizab Persekutuan
- Penerbitan di Biro Penyelidikan Ekonomi Negara
- Penampilan janetyellen di C-SPAN
- Janet Yellen di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
