factograf
MS
Sign in

Civilization VII

All data from the card 9
Pembangun
Firaxis Games
Penerbit
2K
Penggubah
Geoff Knorr, Roland Rizzo, Christopher Tin
Siri
Civilization
Pelantar
WindowsmacOSLinuxNintendo SwitchPlayStation 4PlayStation 5Xbox OneXbox Series X/SNintendo Switch 2
Dilancarkan pada
11 Februari 2025Switch 25 Jun 2025
Genre
Strategi ikut giliran, 4X
Mod
Pemain tunggal
Tapak sesawang
civilization.2k.com…

Sid Meier's Civilization VII (Jawi: ‏سيد ماءيرز سيۏيلايزيشن VII‎‎) ialah permainan video strategi berperanan 4X yang dibangunkan oleh Firaxis Games dan diterbitkan oleh 2K. Permainan ini dikeluarkan pada 11 Februari 2025, untuk Windows, macOS, Linux, Nintendo Switch, PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One dan Xbox Series X/S. Ia juga dilancarkan pada 5 Jun 2025 untuk Nintendo Switch 2.

Serupa dengan permainan-permainan lalu dalam siri ini, matlamat pemain ialah membangunkan sebuah tamadun daripada penempatan awal melalui ribuan tahun untuk menjadi sebuah kuasa dunia dan mencapai salah satu syarat kemenangan, sama ada melalui penaklukan bertentera, keunggulan teknologi, kekuatan ekonomi, atau pengaruh budaya terhadap pesaing-pesaing manusia dan komputer. Pemain melakukannya dengan meneroka dunia, mengasaskan kota-kota baharu, membina pemajuan kota, menghantar pasukan tentera untuk menyerang dan mempertahankan diri daripada pihak lain, mengkaji teknologi dan kemajuan sivik baharu, membangunkan budaya yang berpengaruh, serta terlibat dalam perdagangan dan rundingan dengan pemimpin-pemimpin dunia lain. Satu perubahan ketara daripada permainan terdahulu ialah pengenalan sistem zaman yang memecahkan perlawanan kepada tiga era, setiap satu dengan pemainnya bermain sebagai tamadun berbeza.

Penerimaan terhadap permainan ini bercampur, dengan pemain dan pengkritik memuji visual, bunyi, dan penambahbaikan sistem diplomasinya, namun mengkritik antara mukanya dan dalam beberapa kes, sistem zaman tersebut.

Tatamain

Civilization VII ialah permainan strategi berasaskan giliran 4X. Pemain menyelia perkembangan tamadun manusia dari pengasasan petempatan-petempatan terawal hingga ia menjadi sebuah masyarakat maju. Pemain menggunakan pelbagai unit tentera dan awam untuk meneroka peta, mengembangkan tamadun mereka dengan mengasaskan lebih banyak penempatan, memajukan budaya dan teknologi tamadun mereka, menggunakan sumber di sekitar, serta bersaing atau bekerjasama dengan tamadun pesaing. Pelbagai syarat kemenangan tersedia untuk pemain, termasuk ketenteraan, saintifik, budaya, dan ekonomi.

Civilization VII membolehkan pemain memilih pemimpin dan tamadun secara berasingan, dengan setiap tamadun memihak kepada pemimpin yang mempunyai sifat-sifat tertentu. Kriteria untuk apa yang dikira sebagia "pemimpin" juga telah dikemaskini, merangkumi ahli falsafah, tokoh agama, dan saintis yang bukan ketua-ketua negara. Sistem era sejarah diringkaskan kepada zaman purba, penerokaan, dan moden, berbanding pembahagian dalam instalasi-instalasi lepas yang lebih banyak. Sepanjang semua zaman, puak-puak bebas—yang sengaja dilabelkan begitu untuk mengelakkan konotasi negatif orang "barbar" yang digunakan dalam permainan-permainan sebelumnya dalam siri ini—muncul. Bergantung pada cara pemain pilih untuk berinteraksi dengan mereka, mereka mungkin akan berkembang menjadi sebuah negara kota. Menjelang zaman purba dan penerokaan, pemain berhadapan dengan "peristiwa krisis" yang mensimulasikan pergolakan masyarakat dan kejatuhan tamadun. Pada penghujung zaman-zaman ini, pemain mesti memilih tamadun baru untuk memulakan zaman seterusnya.

Pembangunan

Pada Februari 2023, Firaxis Games mengumumkan mereka sedang membangunkan susulan kepada Civilization VI (2016). PCGamesN melaporkan pada Ogos 2021 bahawa Firaxis telah menyiarkan jawatan kosong sebagai ketua bahagian naratif untuk permainan ini. Gwendoline Christie menjadi pengisah dalam permainan ini.

Firaxis Games bekerjasama dengan ahli Suku Shawnee, termasuk penghulu Shawnee Benjamin Barnes, untuk menghasilkan gambaran yang tepat dari segi sejarah tentang Tecumseh dalam permainan ini. Tecumseh disuarakan oleh Dean Dillon, pelakon suara daripada Suku Shawnee. Sebahagian daripada perkongsian antara Firaxis Games dan Suku Shawnee, Firaxis dan 2K menderma ratusan ribu dolar kepada program yang bekerja untuk menghidupkan semula bahasa Shawnee.

Filem pembukaan Civilization VII "Rediscover Hope" dan lagu tema "Live Gloriously" didedahkan di Game Awards 2024. "Live Gloriously" ditulis oleh penggubah lagu dari Amerika Christopher Tin, yang juga menggubah lagu pemenang Anugerah Grammy "Baba Yetu", lagu tema utama Civilization IV, serta lagu tema utama Civilization VI "Sogno di Volare". Lirik lagu ini berasal daripada empat puisi purba—Iliad, Beowulf, Popol Vuh, dan Ramayana—yang dinyanyikan dalam bahasa-bahasa asal setiap satu. Skor asal permainan ini digubah, disusun dan dihasilkan oleh Geoff Knorr dan Roland Rizzo. Ia menampilkan persembahan oleh ensembel dan pemuzik dari seluruh dunia, termasuk FILMharmonic Orchestra Prague, Mongolian State Morin Khuur Ensemble, Ensemble I Fedeli, Southern Pine Drum Group, Wong Pleng Khmer, dan ramai pemain solo.

Pelancaran

Civilization VII diumumkan di Summer Game Fest pada 7 Jun 2024. 2K sebelum ini mengumumkan ia akan muncul di Summer Game Fest pada Mei untuk mendedahkan "iterasi seterusnya dalam salah satu francaisnya yang terbesar dan paling disayangi". Beberapa jam sebelum persembahan, permainan ini secara tidak sengaja diumumkan di laman web 2K. Civilization VII dikeluarkan untuk Windows, macOS, Nintendo Switch, PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Steam Deck, dan Xbox Series X/S pada 11 Februari 2025. Ia juga dikeluarkan untuk Nintendo Switch 2 sebagai judul yang dilancarkan serentak dengan konsol itu pada 5 Jun 2025.

Versi realiti maya (VR)/realiti terimbuh (AR) Civilization VII dirancang untuk dilancarkan pada awal tahun 2025 bagi Meta Quest 3 dan 3S. Versi ini dibangunkan oleh PlaySide Studios.

Disebabkan maklum balas semasa peringkat akses awal, pada 10 Februari 2025, Firaxis Games mengeluarkan Tampung 1.0.1 untuk Civilization VII, yang termasuk penambahbaikan kepada antara muka pengguna dan tooltip. Kemaskini ini juga memperkenalkan penyelarasan semula kecil untuk tamadun-tamadun tertentu, memastikan pengalaman permainan yang lebih lancar.

Sambutan

Penerimaan

Civilization VII menerima ulasan "umumnya baik" daripada pengkritik, menurut laman web pengagregat ulasan Metacritic. OpenCritic menentukan bahawa 76% pengkritik mengesyorkan permainan ini.

Visual dan bunyi permainan, pembaharuan sistem diplomasi, dan pilihan untuk memisahkan pemimpin dari tamadun kebanyakannya dipuji. Walau bagaimanapun, ramai pengkritik mendapati UI kurang memuaskan, mekanik terlalu ringkas, dan sistem tiga zaman mempunyai pendapat yang berbelah bagi. Poin-poin kritikan lain termasuk penamat pramatang bagi pohon teknologi dan pergantungan berlebihan pada DLC untuk menambah baik ciri yang tiada.

Ulasan daripada para pemain kurang positif, dengan Civilization VII menerima ulasan Bercampur di Steam daripada pemain-pemain akses awal tidak lama sebelum pelancaran penuh. Beberapa bulan selepas pelancaran permainan, Civilization VII masih bertaraf Bercampur di Steam, dengan hanya 48% pemain mengesyorkan permainan ini, dan dua entri sebelumnya dalam siri ini masih mempunyai lebih ramai pemain aktif daripada Civilization VII.

Jualan

Civilization VII mencapai lebih daripada 80,000 pemain serentak di Steam pada minggu pelancarannya. Walau bagaimanapun, dua permainan sebelumnya tetap mempunyai lebih ramai pemain aktif berbanding Civilization VII pada April 2025. Pada bulan Mei 2025, pemain serentak untuk permainan tersebut jatuh ke bawah 5,000 buat kali pertama. Pada bulan Ogos 2025, Ketua Pegawai Eksekutif Take-Two Interactive Strauss Zelnick menyifatkan jualan awal permainan itu "perlahan" tetapi menyatakan keyakinannya dengan potensi jualan jangka panjangnya.

Read next

In 20 languages

Text from Wikipedia, CC BY-SA 4.0 · Source article