Braunschweig (Jerman:) atau Brunswick merupakan sebuah bandar di Saxony Hilir, Jerman, yang terletak di utara Pergunungan Harz pada titik paling jauh yang boleh dilayari di Sungai Oker, yang menghubungkannya ke Laut Utara melalui Sungai Aller dan Weser. Pada tahun 2024, bandar ini mempunyai populasi seramai 272,417 orang. Wilayah Braunschweig–Wolfsburg–Salzgitter pula mempunyai kira-kira 1.02 juta penduduk termasuk bandar Wolfsburg dan Salzgitter, menjadikannya pusat bandar kedua terbesar di Saxony Hilir selepas Hanover.
Kawasan aglomerasi bandar Braunschweig mempunyai populasi sekitar 551,000 orang, dengan hampir 45% daripadanya mempunyai latar belakang migrasi, menjadikannya kawasan bandar paling pelbagai di negeri tersebut. Bandar ini terdiri daripada 37.5% penduduk imigran (sekitar 102,000 orang), dengan ramai berasal dari negara Eropah lain, Asia dan Afrika. Sebanyak 73% rakyat Jerman yang menetap di Braunschweig pula berasal dari bahagian lain negara, terutamanya dari Rhine Utara-Westphalia, Hessen dan bekas negeri-negeri Jerman Timur. Braunschweig dianggap sebagai sebuah "regiopolis" penting, iaitu antara bandar terbesar jenis ini di Jerman Utara dan yang terbesar di Saxony Hilir. Bandar ini dilihat sebagai hab utama di rantau tersebut kerana memiliki ciri-ciri bandar metropolitan pada skala yang lebih kecil.
Seluas 127.12 km² daripada kawasan bandar terdiri daripada kawasan hijau seperti taman dan hutan. Braunschweig mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 4,121 orang per km² (tidak termasuk kawasan hijau), kerana hanya kira-kira 66 km² daripada keseluruhan kawasan yang benar-benar dibangunkan sebagai kawasan bandar, menjadikannya agak padat. Banyak daerah bandar mempunyai kepadatan melebihi 4,450 orang per km² seperti Weststadt, Innenstadt, Westliches Ringgebiet, Nordstadt dan Östliches Ringgebiet. Disebabkan kawasan bandar yang terhad serta usaha memelihara ruang hijau, sebanyak 81% bangunan kediaman terdiri daripada pangsapuri bertingkat, dengan 74% unit mempunyai keluasan kurang daripada 100 meter persegi.
Bandar ini sedang membangunkan lebih banyak kawasan perumahan dalam had bandar supaya menjelang tahun 2030, jumlah penduduk meningkat sebanyak 15,000 orang berbanding tahun 2014.
Sebagai pusat perdagangan yang kuat dan berpengaruh pada zaman pertengahan di Jerman, Braunschweig pernah menjadi ahli Liga Hansa dari abad ke-13 hingga ke-17. Ia juga pernah menjadi ibu kota bagi tiga entiti pemerintahan berturut-turut: Kepengiranan Brunswick-Wolfenbüttel, Perdemangan Brunswick dan Negeri Bebas Brunswick.
Kini, Braunschweig merupakan bandar kedua terbesar di Saxony Hilir serta pusat utama bagi penyelidikan dan pembangunan saintifik.
Sejarah

Tarikh dan keadaan penubuhan bandar Braunschweig tidak diketahui dengan pasti. Menurut tradisi, ia terbentuk daripada gabungan dua penempatan. Satu diasaskan oleh seorang bangsawan Saxon bernama Brun(o) sekitar abad ke-9, dan satu lagi dikaitkan dengan tokoh legenda Count Dankward, yang namanya diabadikan pada Istana Dankwarderode. Nama "Brunswik" dipercayai berasal daripada gabungan nama Bruno dan perkataan Jerman Rendah, wik (tempat persinggahan pedagang), atau mungkin daripada "Brand" yang merujuk kepada pembukaan tanah melalui pembakaran. Bandar ini pertama kali disebut dalam dokumen Gereja St. Magni pada tahun 1031.
Pada Zaman Pertengahan, Braunschweig berkembang sebagai pusat perdagangan penting di Eropah Utara dan menjadi ahli Liga Hansa. Di bawah pemerintahan Henry sang Singa pada abad ke-12, bandar ini dijadikan ibu kota dan berkembang pesat dengan pembinaan Katedral St. Blasius serta lambang singa yang menjadi simbol bandar. Walaupun pernah menjadi pusat pemerintahan, bandar ini banyak ditadbir secara bebas oleh golongan pedagang dan persatuan tukang sehingga abad ke-17. Pada abad ke-18, ia menjadi pusat kebudayaan dan intelektual, disokong oleh pemerintah yang memajukan seni dan sains.
Memasuki abad ke-19, bandar ini mengalami pertumbuhan pesat akibat perindustrian. Ia pernah ditakluki oleh Perancis semasa Perang Napoleon sebelum menjadi ibu kota Perdemangan Brunswick. Pergolakan politik seperti Revolusi Julai 1830 membawa kepada perubahan pemerintahan dan reformasi liberal. Pada masa ini juga, pembangunan infrastruktur seperti landasan kereta api pertama di Jerman Utara mempercepatkan kemajuan bandar.
Pada abad ke-20, selepas Perang Dunia Pertama, Braunschweig menjadi republik sosialis sebelum berubah kepada kerajaan demokratik. Pada tahun 1930-an, Parti Nazi mula berkuasa dan bandar ini menjadi pusat aktiviti politik serta industri persenjataan Jerman. Semasa Perang Dunia Kedua, bandar ini mengalami kemusnahan besar akibat serangan udara Pihak Berikat pada tahun 1944, yang memusnahkan sebahagian besar bandar lama dan banyak bangunan bersejarah.
Selepas perang, hanya kira-kira 10% pusat bandar yang terselamat, dan Braunschweig tidak lagi menjadi ibu negeri apabila ia diserap ke dalam negeri Saxony Hilir. Semasa era Perang Dingin, kedudukannya berhampiran Tirai Besi menjejaskan ekonomi. Bagaimanapun, sejak tahun 1990-an, usaha pemulihan giat dijalankan untuk membina semula bangunan bersejarah, dan hari ini Braunschweig kembali berkembang sebagai bandar penting dengan warisan sejarah yang dipelihara.
Populasi



Braunschweig mempunyai kira-kira 272,000 penduduk dan merupakan bandar kedua terbesar di negeri Saxony Hilir. Ia dianggap sebagai salah satu bandar tertua di Jerman dan diasaskan pada tahun 1031 oleh Henry sang Singa. Jumlah penduduknya pertama kali melebihi 100,000 pada tahun 1890.
Pada tahun 1960-an dan 1970-an, proses perindustrian berkembang pesat, terutamanya dengan kehadiran industri automotif serta syarikat lain di bandar ini dan kawasan sekitarnya seperti Wolfsburg dan Salzgitter. Kemuncak populasi dicapai pada tahun 1975 dengan sekitar 273,000 penduduk, dan jumlah ini dijangka akan melepasi rekod tersebut sekitar tahun 2025 dan seterusnya.
Bagimanapun, populasi mula menurun pada tahun 1980-an sebelum kembali meningkat pada 1990-an selepas penyatuan semula Jerman, apabila ramai penduduk dari Jerman Timur berpindah ke bandar ini kerana lokasinya yang berhampiran. Kini, sekitar 75% penduduk Jerman di Braunschweig berasal dari kawasan lain di negara tersebut, terutamanya bekas Jerman Timur, Hessen dan Rhine Utara-Westphalia.
Pada masa kini, Braunschweig dikenali sebagai pusat penting dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Berdasarkan data tahun 2019, bandar ini mempunyai intensiti R&D tertinggi di seluruh Kesatuan Eropah, dengan lebih 4% tenaga kerjanya terlibat dalam bidang tersebut.
Agama
Pada tahun 2015, di Braunschweig, seramai 91,785 orang (36.3%) beragama Protestan dan 34,604 orang (13.7%) beragama Katolik Rom, manakala 126,379 orang (50.0%) menganut kepercayaan lain atau tidak beragama.
Bagi Islam, dianggarkan sekitar 27,000 orang (9.8% daripada populasi) beragama Islam di Braunschweig pada tahun 2024. Terdapat beberapa masjid dan pusat komuniti seperti DMK Moschee, Fatih Moschee Braunschweig serta pelbagai kelab kebudayaan di seluruh bandar. Walau bagaimanapun, masjid dengan menara tidak banyak dibina dalam bandar ini, tetapi boleh ditemui di kawasan sekitarnya seperti Grüne Moschee, Fatih Moschee Salzgitter dan Albanischer Kulturverein Gifhorn. Secara keseluruhan, kawasan rantau ini mempunyai sekitar 95,000 hingga 105,000 penduduk Muslim, iaitu kira-kira 10% daripada jumlah populasi rantau tersebut.
Imigrasi
Di Braunschweig, seramai 102,156 penduduk (37.5% daripada jumlah populasi) mempunyai latar belakang migrasi pada tahun 2024. Penduduk dari lebih 175 negara tinggal di bandar ini, menjadikannya sebuah bandar yang sangat kosmopolitan. Daripada jumlah tersebut, sekitar 26% atau 70,828 orang ialah bukan warganegara Jerman atau warganegara dengan pasport kedua. Peratusan pendatang dari Asia dan Afrika juga agak tinggi berbanding bandar lain yang bersaiz sama. Bandar ini turut menempatkan salah satu pusat suaka utama di Saxony Hilir serta beberapa pusat kecil lain, yang menyumbang kepada jumlah pendatang dan pelarian yang lebih tinggi, walaupun sebahagian mereka tidak dikira sebagai penduduk rasmi. Kehadiran universiti dan usaha menarik keluarga dari luar negara turut meningkatkan kadar imigresen. Walaupun populasi keseluruhan agak stabil, ramai rakyat Jerman meninggalkan bandar ini dan tempat mereka diisi oleh pendatang baharu, menyebabkan lebih banyak kawasan perumahan dibangunkan.
Menjelang tahun 2030, lebih 44% penduduk Braunschweig dijangka mempunyai latar belakang asing, termasuk generasi pertama dan kedua serta warga yang telah dinaturalisasikan. Ini dipengaruhi oleh kadar imigresen yang tinggi dan fakta bahawa sekitar 51% penduduk di bawah umur 18 tahun mempunyai keturunan asing. Populasi keseluruhan juga dijangka meningkat sebanyak 20% berbanding tahun 2020. Bandar ini mempunyai komuniti besar dari India, China, Maghribi, Colombia dan Cameroon, menjadikannya bandar paling pelbagai di Saxony Hilir dari segi kewarganegaraan dan etnik.
Dari segi kawasan, daerah Weststadt mempunyai peratusan migrasi tertinggi (63.2%), diikuti oleh Nordstadt-Schunteraue (55.8%), Westliches Ringgebiet (52.4%) dan Mitte (49.6%).
| Warganegara | Populasi (31 Mac 2024) |
|---|---|
| Poland | 13,303 |
| Turki | 10,665 |
| Rusia | 8,278 |
| Syria | 5,770 |
| Kazakhstan | 4,235 |
| Itali | 3,630 |
| Ukraine | 3,462 |
| China | 3,100 |
| India | 3,087 |
| Cameroon | 2,233 |
| Tunisia | 2,215 |
| Serbia | 2,122 |
| Croatia | 2,044 |
| Portugal | 2,028 |
| Romania | 1,502 |
| Iran | 1,382 |
| Greece | 1,307 |
| Sepanyol | 1,278 |
| Algeria | 1,207 |
| Ghana | 1,100 |
| Afghanistan | 1,003 |
| Nigeria | 871 |
| Brazil | 786 |
| Thailand | 776 |
| Bulgaria | 723 |
Aglomerasi bandar
Kawasan aglomerasi bandar Braunschweig dianggarkan berjumlah sekitar 551,000 penduduk pada tahun 2024, menjadikannya salah satu "regiopolis" terbesar di Jerman dan yang terbesar di Saxony Hilir. Kawasan ini merangkumi bandar dan pekan berdekatan seperti Wolfenbüttel, Meine, bahagian utara Salzgitter, serta kawasan seperti Weddel, Sickte, Timmerlah dan Lengede dalam lingkungan kira-kira 15 km (dengan Salzgitter sekitar 20 km). Kawasan ladang dan ruang hijau tidak diambil kira kerana sebahagiannya tidak didaftarkan secara rasmi. Dengan keluasan bandar ini, Braunschweig dianggap lebih besar berbanding bandar lain yang mempunyai populasi serupa seperti Aachen, Wiesbaden dan Gelsenkirchen, serta hampir setanding dengan Hanover, menjadikannya pusat bandar yang penting di negeri tersebut. Kawasan ini juga menempatkan ibu pejabat atau cawangan syarikat besar seperti New Yorker, Salzgitter AG, Jägermeister, Siemens, Bosch, Volkswagen, Nordzucker dan Continental.
Secara lebih luas, kawasan metropolitan Braunschweig mempunyai populasi sekitar 1.66 juta penduduk, dikenali sebagai Bahagian Braunschweig. Ia merangkumi bandar seperti Wolfsburg, Goslar dan Gifhorn. Kawasan metropolitan ini merupakan sebahagian daripada wilayah yang lebih besar iaitu Metropolregion Hannover-Braunschweig-Göttingen-Wolfsburg, yang menghubungkan beberapa bandar utama di rantau tersebut.
Iklim
Iklim di Braunschweig diklasifikasikan sebagai iklim lautan (Köppen: Cfb). Suhu purata tahunan adalah sekitar 9.9°C, manakala jumlah hujan tahunan purata ialah 614.8 mm, dengan bulan Julai menjadi bulan paling lembap. Suhu biasanya paling tinggi pada Julai (sekitar 18.7°C) dan paling rendah pada Januari (sekitar 1.8°C).
Rekod cuaca menunjukkan suhu tertinggi pernah dicatat ialah 38.3°C pada 20 Julai 2022, manakala suhu terendah ialah −26.3°C pada 11 Februari 1929. Suhu minimum paling panas ialah 22.6°C (10 Julai 2010), dan suhu maksimum paling sejuk ialah −17.5°C (11 Februari 1929). Dari segi hujan, jumlah harian tertinggi ialah 79.9 mm (17 Julai 2002), dengan Julai 2002 sebagai bulan paling basah (212.6 mm) dan tahun 2002 sebagai tahun paling lembap (989.3 mm). Sebaliknya, tahun paling kering ialah 1959 dengan hanya 295.7 mm hujan.
Salji paling awal direkodkan pada 4 Oktober 1925 dan paling lewat pada 22 April 1929. Tempoh cahaya matahari paling panjang dalam setahun ialah 2,128.2 jam (2018), manakala paling pendek ialah 1,270.4 jam (1960).
| Data iklim untuk Braunschweig (1991–2020 normal, ekstrem 1891–kini) | |||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
| Rekod tinggi suhu, °C (°F) | 15.9 (60.6) |
19.4 (66.9) |
24.4 (75.9) |
29.8 (85.6) |
35.4 (95.7) |
35.8 (96.4) |
38.3 (100.9) |
38.2 (100.8) |
33.7 (92.7) |
27.6 (81.7) |
21.5 (70.7) |
17.6 (63.7) |
38.3 (100.9) |
| Purata maksimum suhu, °C (°F) | 11.3 (52.3) |
12.7 (54.9) |
17.4 (63.3) |
22.7 (72.9) |
27.2 (81.0) |
30.1 (86.2) |
31.8 (89.2) |
32.3 (90.1) |
26.7 (80.1) |
21.3 (70.3) |
15.6 (60.1) |
11.9 (53.4) |
33.9 (93.0) |
| Purata maksimum suhu harian, °C (°F) | 4.1 (39.4) |
5.2 (41.4) |
9.0 (48.2) |
14.5 (58.1) |
18.5 (65.3) |
21.6 (70.9) |
23.9 (75.0) |
23.7 (74.7) |
19.3 (66.7) |
13.8 (56.8) |
8.2 (46.8) |
4.9 (40.8) |
13.9 (57.0) |
| Purata suhu harian, °C (°F) | 1.8 (35.2) |
2.4 (36.3) |
5.2 (41.4) |
9.6 (49.3) |
13.5 (56.3) |
16.6 (61.9) |
18.7 (65.7) |
18.4 (65.1) |
14.5 (58.1) |
10.1 (50.2) |
5.7 (42.3) |
2.8 (37.0) |
9.9 (49.8) |
| Purata minimum suhu harian, °C (°F) | −0.7 (30.7) |
−0.5 (31.1) |
1.5 (34.7) |
4.6 (40.3) |
8.3 (46.9) |
11.4 (52.5) |
13.6 (56.5) |
13.5 (56.3) |
10.2 (50.4) |
6.6 (43.9) |
3.1 (37.6) |
0.4 (32.7) |
6.0 (42.8) |
| Purata minimum suhu, °C (°F) | −10.0 (14.0) |
−8.2 (17.2) |
−4.3 (24.3) |
−1.7 (28.9) |
2.3 (36.1) |
6.5 (43.7) |
9.2 (48.6) |
8.2 (46.8) |
4.4 (39.9) |
−0.2 (31.6) |
−3.3 (26.1) |
−7.4 (18.7) |
−12.2 (10.0) |
| Rekod rendah suhu, °C (°F) | −23.6 (−10.5) |
−26.3 (−15.3) |
−16.5 (2.3) |
−7.3 (18.9) |
−2.7 (27.1) |
1.3 (34.3) |
5.3 (41.5) |
4.6 (40.3) |
−0.1 (31.8) |
−6.9 (19.6) |
−18.3 (−0.9) |
−20.9 (−5.6) |
−26.3 (−15.3) |
| Purata kerpasan, mm (inci) | 50.3 (1.98) |
35.2 (1.39) |
43.2 (1.70) |
38.8 (1.53) |
54.8 (2.16) |
54.2 (2.13) |
70.6 (2.78) |
66.6 (2.62) |
51.1 (2.01) |
53.6 (2.11) |
48.1 (1.89) |
48.4 (1.91) |
614.8 (24.20) |
| Purata kedalaman salji ekstrem, cm (inci) | 4.6 (1.8) |
3.8 (1.5) |
1.9 (0.7) |
0 (0) |
0 (0) |
0 (0) |
0 (0) |
0 (0) |
0 (0) |
0 (0) |
0.6 (0.2) |
3.6 (1.4) |
7.3 (2.9) |
| Purata bilangan hari kerpasan (≥ 0.1 mm) | 17.3 | 15.3 | 15.0 | 12.3 | 13.9 | 13.5 | 15.5 | 14.2 | 13.0 | 15.6 | 16.7 | 17.8 | 180.1 |
| Purata bilangan hari salji (≥ 1.0 cm) | 6.0 | 5.3 | 1.9 | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 | 0.8 | 4.3 | 19.2 |
| Purata kelembapan relatif (%) | 84.9 | 81.6 | 76.8 | 69.7 | 70.4 | 71.2 | 71.0 | 71.9 | 77.5 | 83.0 | 86.4 | 86.0 | 77.6 |
| Purata bulanan jangka masa sinaran matahari | 52.4 | 74.1 | 123.4 | 186.3 | 222.6 | 229.2 | 225.0 | 212.5 | 159.1 | 112.5 | 54.1 | 41.5 | 1,692.6 |
| Sumber 1: NOAA | |||||||||||||
| Sumber 2: DWD Open Data | |||||||||||||
Sains dan penyelidikan

Braunschweig telah lama menjadi kawasan industri penting dan kini lebih dikenali sebagai pusat pendidikan tinggi serta penyelidikan saintifik. Bandar ini menempatkan beberapa institusi penyelidikan utama seperti Institut Johann Heinrich von Thünen, Julius Kühn-Institut, dan Institut Friedrich Loeffler (khususnya bahagian makanan haiwan). Selain itu, terdapat juga Koleksi Mikroorganisma dan Kultur Sel Jerman, Pusat Penyelidikan Jangkitan Helmholtz, serta Physikalisch-Technische Bundesanstalt. Institusi PTB ini menguruskan jam atom yang mengawal isyarat masa DCF77 serta waktu rasmi Jerman.
Pada tahun 2006, kawasan Braunschweig merupakan antara rantau paling intensif dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) di seluruh Kawasan Ekonomi Eropah, dengan pelaburan sebanyak 7.1% daripada KDNK untuk R&D. Menjelang 2019, angka ini meningkat kepada 7.79%, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai rantau paling intensif R&D di Jerman. Pada tahun 2007, Braunschweig turut menerima anugerah "Bandar Sains".
Institusi pendidikan utamanya ialah Universiti Teknologi Braunschweig (Technische Universität Braunschweig), yang diasaskan pada tahun 1745 dan merupakan universiti tertua dalam rangkaian TU9 di Jerman. Dengan kira-kira 18,000 pelajar, ia merupakan universiti ketiga terbesar di Saxony Hilir serta salah satu pusat penting dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Ekonomi
Braunschweig pernah dianggap sebagai salah satu kawasan ekonomi paling dinamik di Jerman, berdasarkan penilaian majalah perniagaan mingguan Wirtschaftswoche pada tahun 2015.
Bandar ini merupakan salah satu pusat awal perindustrian di Jerman Utara. Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, industri pengetinan makanan, kereta api dan pengeluaran gula memainkan peranan penting dalam ekonomi bandar ini. Bagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua, industri pengetinan semakin merosot, manakala industri automotif menjadi semakin dominan. Syarikat trak dan bas Büssing pernah berpusat di Braunschweig.
Pada hari ini, beberapa syarikat besar masih beroperasi atau mempunyai kilang di bandar ini seperti Volkswagen, Siemens, Bombardier Transportation dan Bosch. Selain itu, Braunschweig juga menjadi lokasi ibu pejabat beberapa syarikat penting seperti jenama fesyen New Yorker, penerbit Westermann Verlag, serta syarikat gula Nordzucker. Ia juga menempatkan Volkswagen Financial Services, Volkswagen Bank dan unit kenderaan utiliti Volkswagen.
Dalam industri optik, Braunschweig pernah menjadi pusat kepada syarikat terkenal seperti Voigtländer dan Rollei. Pada tahun 1980-an dan awal 1990-an, syarikat komputer seperti Atari dan Commodore International juga mempunyai cawangan pembangunan dan pengeluaran di bandar ini.
Selain industri berat dan teknologi, Braunschweig juga dikenali dalam pembuatan alat muzik berkualiti tinggi. Dua pengeluar piano terkenal dunia, Schimmel dan Grotrian-Steinweg, berasal dari bandar ini. Selain itu, syarikat gitar Sandberg Guitars juga beroperasi di Braunschweig.
Budaya

Braunschweig terkenal dengan Till Eulenspiegel, iaitu seorang pelawak zaman pertengahan yang dikaitkan dengan banyak jenaka dan helah terhadap penduduk bandar tersebut.
Bandar ini juga mempunyai sejarah panjang dalam pembuatan bir, dan masih menghasilkan sejenis bir istimewa yang dipanggil Mumme, yang pertama kali direkodkan pada tahun 1390. Mumme ialah ekstrak malt yang pernah dieksport ke seluruh dunia. Sehingga kini, terdapat dua kilang bir utama di Braunschweig, iaitu Hofbrauhaus Wolters yang ditubuhkan pada tahun 1627, serta kilang bir Feldschlößchen yang kini dikendalikan oleh Oettinger Beer.
Dari segi makanan, Braunschweig juga dikenali dengan Braunschweiger Mettwurst, iaitu sosej daging babi salai yang lembut dan boleh disapu, yang dinamakan sempena bandar ini. Hidangan tradisional lain termasuk asparagus putih, Braunschweiger Lebkuchen, Braunkohl (sejenis kubis kale yang dihidangkan bersama Bregenwurst), serta Uhlen un Apen (dalam bahasa Jerman Rendah bermaksud "burung hantu dan monyet"), iaitu sejenis pastri tradisional tempatan.
Media
Braunschweig mempunyai akhbar tempatan utama iaitu Braunschweiger Zeitung, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1946.
Selain itu, pada masa lalu terdapat beberapa akhbar penting lain yang diterbitkan di Braunschweig, antaranya Braunschweigische Anzeigen / Braunschweigische Staatszeitung (1745–1934), Braunschweigische Landeszeitung (1880–1936), serta Braunschweiger Stadtanzeiger / Braunschweiger Allgemeiner Anzeiger (1886–1941). Akhbar berhaluan sosial demokratik, Braunschweiger Volksfreund (1871–1933), juga pernah diterbitkan di bandar ini.
Berhampiran Braunschweig di kawasan Cremlingen-Abbenrode, terdapat sebuah pemancar gelombang sederhana besar yang dikenali sebagai pemancar Cremlingen. Ia menyiarkan program radio Deutschlandfunk pada frekuensi 756 kHz.
Pesta
Braunschweig mempunyai tradisi karnival zaman pertengahan yang dikenali sebagai Schoduvel, yang sudah disambut sejak abad ke-13 di Jerman Utara. Sejak tahun 1979, bandar ini juga menganjurkan perarakan Rosenmontag setiap tahun, iaitu perarakan karnival terbesar di Jerman Utara, yang dinamakan "Schoduvel" sebagai penghormatan kepada tradisi lama tersebut.
Selain itu, Braunschweig turut mengadakan Weihnachtsmarkt (pasar Krismas) setiap tahun pada akhir November hingga Disember di Burgplatz di pusat bandar. Pasar Krismas ini sangat popular dan pada tahun 2008 sahaja, ia menarik kira-kira 900,000 pengunjung.
Muzium
Braunschweig mempunyai beberapa muzium penting yang mencerminkan sejarah, seni dan budaya bandar tersebut.
Muzium utama ialah Muzium Herzog Anton Ulrich, sebuah muzium seni terkenal dan juga muzium awam tertua di Jerman, diasaskan pada tahun 1754. Ia menyimpan koleksi seni Barat yang penting termasuk karya Dürer, Giorgione, Cranach, Holbein, Van Dyck, Vermeer, Rubens dan Rembrandt.
Selain itu, terdapat Braunschweigisches Landesmuseum yang ditubuhkan pada tahun 1891, mempamerkan sejarah kawasan Braunschweig dari zaman awal hingga kini, serta Städtisches Museum Braunschweig yang diasaskan pada tahun 1861 untuk dokumentasi sejarah bandar dan budaya tempatan. Muzium Sains Alam Negeri pula, juga bermula pada tahun 1754, memberi tumpuan kepada zoologi dan sejarah alam.
Antara muzium lain termasuk Muzium Fotografi, Muzium Yahudi, Muzium Teknologi Pertanian Gut Steinhof, dan Gerstäcker-Museum. Bandar ini juga kerap mengadakan pameran seni kontemporari melalui Kunstverein Braunschweig, yang berpusat di Villa Salve Hospes, sebuah vila klasik yang dibina antara 1805 dan 1808.
Muzik dan tarian
Braunschweig pernah menjadi tuan rumah Braunschweig Classix Festival, iaitu sebuah festival muzik klasik tahunan. Festival ini merupakan antara penganjur muzik klasik terbesar di rantau tersebut dan juga antara festival muzik paling terkenal di Saxony Hilir.
Selain itu, dari tahun 2001 hingga 2009 dan sekali lagi sejak 2013, pusingan akhir pertandingan breakdance antarabangsa Battle of the Year telah diadakan di Volkswagen Halle di Braunschweig.
Dalam bidang tarian sukan pula, Braunschweiger TSC merupakan salah satu pasukan tarian formasi kompetitif terkemuka di dunia, dengan pelbagai gelaran juara dunia dan Eropah yang telah dimenangi.
Sukan
Braunschweig mempunyai kelab bola sepak utama iaitu Eintracht Braunschweig yang diasaskan pada tahun 1895. Kelab ini mempunyai sejarah panjang dan pernah menjadi juara Jerman pada tahun 1967. Kini, mereka bermain di 2. Bundesliga, iaitu liga divisyen kedua bola sepak Jerman, dan mempunyai sokongan peminat yang besar. Bandar ini juga dikatakan antara tempat awal permainan bola sepak di Jerman, diperkenalkan oleh guru tempatan Konrad Koch pada tahun 1874, yang juga menulis peraturan bola sepak dalam bahasa Jerman. Kisah ini menjadi asas kepada filem Lessons of a Dream (2011).
Selain bola sepak, Eintracht Braunschweig juga mempunyai pasukan hoki padang wanita yang berjaya memenangi sembilan kejuaraan kebangsaan antara 1965 hingga 1978. Pada masa lalu, kelab ini turut mempunyai pasukan dalam sukan lain seperti hoki ais, bola tangan padang dan polo air.
Dalam sukan Amerika, pasukan New Yorker Lions merupakan pasukan kebanggaan bandar ini, dengan rekod 12 kejuaraan German Bowl serta lima Eurobowl, menjadikannya antara pasukan paling berjaya di Eropah.
Dalam bola keranjang, pasukan Basketball Löwen Braunschweig bermain dalam Basketball Bundesliga, iaitu liga tertinggi di Jerman. Pasukan wanita Eintracht Braunschweig pula bermain di liga divisyen kedua bola keranjang wanita negara tersebut.
Dalam sukan lain, MTV Braunschweig, kelab sukan tertua di bandar ini (ditubuhkan pada 1847), bermain dalam liga bola baling separa profesional 3. Liga. Terdapat juga kelab lain yang pernah atau sedang bermain di peringkat tinggi seperti Spot Up 89ers (besbol), Braunschweiger THC (hoki padang), SV Süd Braunschweig (bola baling), Rugby-Welfen Braunschweig (ragbi) dan USC Braunschweig (bola tampar).
Antara acara sukan tahunan di Braunschweig termasuk pertandingan ekuestrian antarabangsa Löwen Classics, perlumbaan basikal jalan raya tertua di Jerman Rund um den Elm,Ralat petik: Tag <ref> tidak ditutup dengan </ref>
Pautan luar
- Official website Diarkibkan 2009-09-07 di Wayback Machine
- Braunschweig – 360° Panoramas
- Daily newspaper Braunschweiger Zeitung
