Belinjau, belinjo, belingar, melinjau, melinjo, meninjau, maninjau, songkok atau sokak (nama botani: Gnetum gnemon) ialah spesies tumbuhan dalam genus Gnetum. Ia tumbuh asli dalam kawasan dari Assam selatan dan timur di India merentasi Semenanjung Melayu, Kepulauan Melayu dan Filipina dari Asia Tenggara ke Fiji dan pulau-pulau Pasifik barat. Belinjau tergolong dalam kumpulan pokok spesies gimnosperma yang hidup sejak zaman purba dan tidak mengeluarkan bunga untuk membiak.
Peristilahan
Nama belinjau (Jawi: بلينجاو) digunakan di Kedah, belinjo digunakan di Jawa Timur.
Nama meninjau dan maninjau (Jawi: منينجاو) digunakan di Semenanjung Melayu, nama melinjau (Jawi: ملينجاو) dan melinjo (Jawi: ملينجو) digunakan di Singapura. Nama meninjon (Jawi: منينجون) digunakan di Palembang.
Botani

Pokok belinjau tumbuh sehingga 22 meter. Kulit kayunya berwarna kelabu. Sehelai daun berbentuk bujur dengan ukuran 7.5-20 sentimeter panjang dan 2.5-10 sm lebar, permukaannya licin.
Walaupun pokok belinjau tidak berbunga, ia masih menumbuhkan organ pembiakan jantan dan betina yang menghasilkan spora pada tangkai-tangkai tunggal 3–6 sm panjang. Organ betina yang disenyawakan menjadi sebiji buah berkulit nipis dengan benih besar seperti kekeras yang berukuran 2–4 sm panjang, buah belinjau bertukar warna menjadi jingga, ungu atau merah jambu apabila masak.
-
Segugus buah belinjau mentah
-
Buah belinjau masak dan keratan rentas biji
Kegunaan

Belinjau jarang ditanam secara intensif. Kayunya dapat digunakan sebagai bahan papan. Daun yang muda, "bunga" (baik jantan mahupun betina) dan bijinya (baik yang muda mahupun yang sudah masak) boleh digunakan sebagai sayur (misalnya sebagai ulam). Biji belinjau boleh dikisar menjadi tepung atau atau ditumbuk-tumbuk untuk digoreng menjadi emping.
Sebagai sumber makanan, biji belinjau mengandungi khasiat yang boleh membantu mereka yang menghadapi masalah gout.
Khasiat
Pucuk dan buah muda belinjau mengandungi khasiat makanan yang agak tinggi, terutama vitamin A dan vitamin C. Dalam setiap 100 gram (g), bahagian yang boleh dimakan mengandungi: Air 75.1 (miligram) mg, protein 6.6 g, lemak 1.2 g, karbohidrat 9.1 g, serat 6.8 g, kalsium 151 mg, fosforus 224 mg, ferum 2.5 mg, vitamin A 10889 I.U. Niasin 1.2 mg dan vitamin C 121 mg.
Pautan luar
- Profil spesies di Sistem Maklumat Biokepelbagaian Malaysia
- Profil spesies di Flora and Fauna Web Lembaga Taman Negara Singapura
