factograf
MS
Sign in

Gelaran diraja Mesir purba

Gelaran diraja Mesir purba

Lima Gelaran bagi Firaun Mesir merupakan kelaziman penamaan yang diambil oleh firaun-firaun Mesir purba. Ia melambangkan kekuatan dan kuasa suci, juga bertindak sebagai pernyataan misi bagi pemerintahan monarki sepanjang firaun itu memerintah (namun kadangkala ia diubah dalam tempoh pemerintahan yang sama).

Lima gelaran ini, yang terdiri daripada lima nama, tidak menjadi kebiasaan hinggalah Kerajaan Pertengahan tetapi masih digunakan selewat-lewatnya pada zaman Empayar Rom.

Asal usul

Supaya firaun, yang memegang jawatan dewaraja, dapat dihubungkan dengan rakyat dan para dewa, gelaran khas dicipta untuk mereka ketika menaiki takhta. Gelaran-gelaran ini juga berfungsi untuk menunjukkan sifat-sifat seseorang dan mengaitkannya dengan alam duniawi. Lima nama ini telah berkembang setelah berabad-abad, bermula dengan nama Horus. Nama ini mengenal pasti individu tersebut sebagai wakil dewa Horus. Nama Nebty ialah bahagian kedua dalam gelaran diraja Mesir Hulu dan Mesir Hilir. Nama ini meletakkan raja di bawah lindungan dua dewi, Nekhbet dan Wadjet, dan bermula sekitar penghujung Dinasti Pertama sebagai rujukan kepada "Yang milik Mesir Hulu dan Hilir", berserta sebutan mengenai Dua Wanita tersebut. Sekitar zaman Dinasti Keempat Mesir, nama Falkon Emas (kadang-kadang dipanggil Horus Emas) telah dicipta. Dua nama terakhir bagi raja, iaitu prenomen dan nomen, biasanya digambarkan dalam kartusy berbentuk bulat yang bertali milik raja (yang akhirnya turut mengandungi semua nama diraja, termasuk permaisuri dan anak-anak diraja) dan dikenali sebagai Nama Takhta dan Nama Anak Ra.

Nama Horus

Nama ini sering ditulis dalam serekh, kotak penutup istana. Nama firaun ditulis dalam hieroglif dalam penutup istana. Biasanya, imej Dewa falko Horus, dewa penaung bagi monarki, bertenggek di atas atau di tepinya.

Ini adalah bentuk tertua bagi nama firaun, yang asalnya dari Kerajaan Lama. Banyak firaun yang lama yang terkenal hanya dikenali dengan gelaran ini.

Sekurang-kurangnya satu pemerintah Mesir, Seth-Peribsen dari Dinasti Kedua, menggunakan imej Dewa serigala-musang Seth dan bukan Horus, mungkin menunjukkan wujudnya bahagian-bahagian agama dalaman dalam negara itu. Baginda digantikan oleh Khasekhemwy, yang meletakkan kedua-dua simbol Seth dan Horus di atas nama baginda. Selepas itu, imej Horus sentiasa muncul bersebelahan nama firaun.

Menjelang Kerajaan Baru, nama Horus sering diletakkan tanpa serekh penutup.

Nama Nebty ("dua wanita")

Nama Nebty merupakan gabungan dua dewi penaung Mesir Hulu dan Hilir:

Nama ini pertama kali digunakan oleh firaun Semerkhet dari Dinasti Pertama, dan ia menjadi gelaran tersendiri ketika Dinasti Kedua Belas

Nama ini tidak dibingkaikan dengan serekh atau kartusy, tetapi sering bermula dengan gambar burung hering atau ular tedung di atas dua bakul, kata nama duaan "nebty".

Horus Emas

Juga dikenali dengan Nama Horus Keemasan, bentuk nama firaun ini menggunakan gambar falkon Horus bertenggek di atas atau di tepi hieroglif untuk emas.

Maksud gelaran ini dipertikaikan tetapi satu yang paling dipercayai ialah nama gelaran ini mewakili kejayaan Horus mengatasi Seth, kerana simbol emas membawa maksud Horus "lebih hebat daripada seteru-seterunya". Emas juga dsering dikaitkan dengan pemikiran Mesir purba yang menganggapnya berkaitan dengan keabadian, maka ini menepati nama Horus abadi bagi firaun.

Seperti nama Nebty, nama ini tidak dibingkaikan oleh kartusy atau serekh.

Nama takhta (prenomen)

Kartusy nama bagi Thutmose II dimulakan dengan lambang Rusiga dan Lebah di Kuil Hatshepsut, Luxor
Kartusy nama bagi Thutmose II dimulakan dengan lambang Rusiga dan Lebah di Kuil Hatshepsut, Luxor

Nama takhta firaun, iaitu nama pertama daripada dua nama yang ditulis dalam kartusy, dan biasanya diiringi dengan gelaran nsw-bity (nsw(t)-bjt(j)), yang tradisionalnya ditafsirkan sebagai "Baginda (yang daripada) rusiga dan lebah" dan sering diterjemahkan untuk kesenangan sebagai "Raja Mesir Hulu dan Hilir". (Simbol alang-alang dan lebah masing-masing mewakili Mesir Hulu dan Mesir Hilir, namun kajian terkini telah menimbulkan keraguan terhadap tafsiran ini.)

Nama julukan neb tawy, "Penguasa Dua Tanah", merujuk kepada kawasan lembah dan delta Mesir.

Gelaran ini digunakan secara menyeluruh tanpa mengira jantina pemerintah. Versi perempuan gelaran ini – nsjt-n-tꜣ-šmꜥ bjtjt-n-tꜣ-mḥw (nesit Ta-Syema bitit Ta-Mehu), yang bermaksud "Ratu negeri Mesir Hulu (dan) Ratu negeri Mesir Hilir" – hanya direkodkan untuk Cleopatra VII sahaja.

Nama diri (nomen)

Nama ini diberikan semasa lahir. Nama ini didahului dengan gelaran "Anak Ra", yang ditulis menggunakan hieroglif seekor itik (za), satu homonim bagi perkataan yang bermaksud "anak lelaki" (za), bersebelahan dengan imej matahari, iaitu hieroglif bagi dewa matahari, Ra. Ia mula diperkenalkan sebagai sebahagian daripada gelaran diraja pada zaman Dinasti Keempat dan menekankan peranan raja sebagai wakil dewa matahari Ra. Bagi wanita yang menjadi firaun, gelaran tersebut juga ditafsirkan sebagai "anak perempuan".

Ahli sejarah moden merujuk kepada raja Mesir purba dengan meletakkan ordinal (cth. "II", "III") untuk membezakan individu-individu dengan nama yang sama.

Contoh Lima Gelaran

Senusret I

Ketika Kerajaan Pertengahan, gelaran penuh kadangkala ditulis dalam satu kartusy, seperti contoh dari Senusret I, dari Beni Hasan.

Hatshepsut

Gelaran penuh firaun Hatshepsut dari Dinasti Kelapan Belas, dengan panduan sebutan dan makna yang setara dan menunjukkan perbezaan kerana firaun ini perempuan, adalah seperti berikut:

  • Nama Horus: Wesretkau, "Perkasa antara Ka"
  • Nama Nebty: Wadjrenput, "Baginda yang daripada Dua Wanita, Berkembang subur dalam tahun"
  • Horus Emas: Netjeretkhau, "Seperti ilahi dalam penampilan" (Netjeret ialah bentuk feminin netery yang bermaksud 'seperti dewa' atau 'seperti ilahi', dan khau, 'penampilan')
  • Prenomen: Maatkare, "Kebenaran [Maat] ialah Ka kepada Ra"
  • Nomen: Khnumt-Amun Hatshepsut, "Bergabung dengan Amun, Yang Terkemuka antara Wanita Bangsawan"

Thutmose III



serekh atau nama Horus


Nama Nebty


Nama Horus Emas
praenomen atau nama diraja

nomen atau nama lahir

Thutmose III
dalam hieroglif Mesir Era: Kerajaan Baru
(1550–1069 SM)

Gelaran penuh firaun Thutmose III pada Dinasti Kelapan Belas, dan penyebutan serta maksud yang seerti adalah seperti berikut:

  • Nama Horus: Kanakht Khaemwaset, "Horus Si Lembu Jantan Perkasa, yang Terbit di Thebes"
  • Nama Nebty: Wahnesytmireempet, "Baginda yang daripada Dua Wanita, Berkekalan dalam keberajaan sepertimana Ra di langit"
  • Horus Emas: Sekhempahtydsejerkhaw, "Horus Emas yang Berkuasa dalam kekuatan, Suci dalam penampilan"
  • Prenomen: Menkheperre, "Baginda daripada Rusiga dan Lebah, Berkekalan dalam bentuknya Ra"
  • Nomen: Thutmose Neferkheperu, "Anak Ra, Thutmose, cantik dalam bentuk"

Pautan luar

  • (Inggeris)Nama emas
  • (Inggeris)Nama Horus
  • (Inggeris)Gelaran Diraja
  • (Inggeris)Dua Wanita
  • (Inggeris)Thutmose I

Read next

In 32 languages

Text from Wikipedia, CC BY-SA 4.0 · Source article